
Jabatan itu berkata pihaknya menerima rekod rayuan daripada Mahkamah Tinggi pada 30 Okt berhubung keputusan membebaskan isteri bekas perdana menteri Najib Razak itu.
“Setelah meneliti sepenuhnya alasan penghakiman, jabatan ini memutuskan untuk tidak meneruskan rayuan ke Mahkamah Rayuan setelah berpuas hati bahawa tiada prospek kejayaan sekiranya rayuan diteruskan.
“Antara faktor diambil kira ialah pihak pendakwaan tidak dapat buktikan kes melampaui keraguan munasabah yang diperlukan dalam sesuatu perbicaraan mahkamah kerana ada saksi-saksi penting sudah meninggal dunia dan tidak lagi dapat dikesan,” katanya dalam satu kenyataan.
Jabatan itu juga menegaskan bahawa semua aspek utama kes, termasuk isu fakta dan undang-undang telah diteliti sebelum keputusan untuk tidak meneruskan dengan rayuan diambil.
Bagaimanapun, jabatan itu berkata kes rasuah berkaitan projek solar hibrid yang melibatkan Rosmah tetap diteruskan dan kini berada di peringkat Mahkamah Rayuan.
Ia merujuk keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 1 Sept 2022 yang menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun dan denda RM970 Juta selepas disabitkan dengan tiga pertuduhan rasuah berkaitan projek solar bagi 369 sekolah luar bandar di Sarawak.
Menurutnya, pelaksanaan hukuman itu ditangguhkan sementara menunggu keputusan rayuan tertuduh di Mahkamah Rayuan.
Semalam, Peguam Amer Hamzah Arshad, seorang daripada pasukan undang-undang Rosmah, berkata mereka menerima dengan salinan notis daripada pendakwaan berkaitan penarikan balik rayuan difailkan di Mahkamah Rayuan, dua hari lalu.
Dalam notis itu, Timbalan Pendakwa Raya Saiful Edris Zainuddin, berkata pihak pendakwaan tidak berhasrat meneruskan rayuan berkenaan.
Notis rayuan difailkan pada 20 Dis 2024, sehari selepas Hakim K Muniandy memutuskan pertuduhan terhadap Rosmah itu, tidak sah dan cacat kerana tidak mematuhi peruntukan dalam Kanun Tatacara Jenayah.
Rosmah, 74, dibicarakan atas 12 pertuduhan pengubahan wang melibatkan RM7.09 juta dan lima pertuduhan gagal mengisytiharkan pendapatannya kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).
Beliau dituduh melakukan kesalahan berkenaan antara 4 Dis 2013 dan 8 Jun 2017, dan didakwa pada 4 Okt 2018.
Perbicaraan bermula pada 24 Ogos 2023, dengan dua saksi pendakwaan memberi keterangan. Prosiding terhenti dua minggu kemudian selepas Rosmah memfailkan permohonan pembatalan kesnya pada 6 Sept.