
Peguam Amer Hamzah Arshad, seorang daripada pasukan undang-undang Rosmah, berkata mereka telah menerima dengan salinan notis penarikan balik rayuan difailkan di Mahkamah Rayuan, dua hari lalu.
Dalam notis itu, Timbalan Pendakwa Raya Saiful Edris Zainuddin, berkata pihak pendakwaan tidak berhasrat meneruskan rayuan berkenaan.
Notis rayuan difailkan pada 20 Dis 2024, sehari selepas Hakim K Muniandy memutuskan pertuduhan terhadap isteri bekas perdana menteri Najib Razak itu, tidak sah dan cacat kerana tidak mematuhi peruntukan dalam Kanun Tatacara Jenayah.
“Pertuduhan itu adalah bertindih dan berbilang. Tambahan pula, ia tidak mendedahkan sebarang kesalahan,” kata Muniandy.
Muniandy, yang kini merupakan hakim Mahkamah Rayuan, berkata pertuduhan pengubahan wang adalah cacat kerana ia hanya mendedahkan Rosmah telah mendepositkan wang dalam akaunnya di Affin Bank Bhd.
“Semata-mata mendepositkan wang tidaklah sama dengan melibatkan diri dalam aktiviti menyalahi undang-undang dan melakukan kesalahan pengubahan wang,” katanya sambil menambah tertuduh tidak boleh dibiarkan berteka-teka semasa menyediakan pembelaannya.
Muniandy juga berkata, lima pertuduhan pengelakan cukai dibawa di bawah Akta Cukai Pendapatan 1967 adalah pramatang kerana rayuan Rosmah mengenai taksiran cukai masih belum selesai di hadapan pesuruhjaya khas cukai pendapatan.
Rosmah, yang menyambut ulang tahun ke-74 semalam, dibicarakan atas 12 pertuduhan pengubahan wang melibatkan RM7.09 juta dan lima pertuduhan gagal mengisytiharkan pendapatannya kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).
Beliau dituduh melakukan kesalahan berkenaan antara 4 Dis 2013 dan 8 Jun 2017, dan didakwa pada 4 Okt 2018.
Perbicaraan bermula pada 24 Ogos 2023, dengan dua saksi pendakwaan memberi keterangan. Prosiding terhenti dua minggu kemudian selepas Rosmah memfailkan permohonan pembatalan kesnya pada 6 Sept.