Ahli Parlimen mahu peguam negara jelaskan penarikan balik rayuan kes Rosmah

Ahli Parlimen mahu peguam negara jelaskan penarikan balik rayuan kes Rosmah

Jimmy Puah berkata tindakan itu boleh menimbulkan tanda tanya terhadap ketelusan dan integriti sistem kehakiman.

Ahli Parlimen Tebrau Jimmy Puah berkata penjelasan berhubung asas dan pertimbangan kepada keputusan itu penting bagi memastikan kepercayaan awam dan kedaulatan undang-undang. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Seorang Ahli Parlimen kerajaan meminta peguam negara memberikan penjelasan lebih lengkap berhubung tindakan pendakwa raya menarik balik rayuan keputusan Mahkamah Tinggi membebaskan Rosmah Mansor dalam kes pengubahan wang haram dan pengelakan cukai.

Ahli Parlimen Tebrau, Jimmy Puah, berkata penjelasan berhubung asas dan pertimbangan kepada keputusan itu penting bagi memastikan kepercayaan awam dan kedaulatan undang-undang.

Katanya, tindakan itu boleh menimbulkan tanda tanya terhadap ketelusan dan integriti sistem kehakiman, lebih-lebih lagi apabila ia melibatkan individu berprofil tinggi.

“Walaupun peguam negara mempunyai kuasa budi bicara bawah Perkara 145(3) Perlembagaan Persekutuan, keputusan sebegini tetap perlu dijelaskan secara terbuka dan menyeluruh demi menjaga keyakinan rakyat terhadap institusi keadilan negara,” kata wakil rakyat PKR dalam kenyataan.

Beliau berkata, alasan menarik balik rayuan itu kerana beberapa saksi utama meninggal dunia atau tidak dapat dikesan juga tidak munasabah.

“Ia juga tidak selaras prinsip asas undang-undang. Dalam proses rayuan, Mahkamah Rayuan tidak menilai semula fakta atau memanggil saksi baharu, sebaliknya hanya meneliti sama ada mahkamah terdahulu telah menerapkan undang-undang dengan betul.

“Semua bukti dan keterangan telah direkodkan di Mahkamah Tinggi, maka ketiadaan saksi tidak seharusnya menjadi alasan untuk menarik balik rayuan. Alasan bahawa ‘saksi telah meninggal dunia atau tidak dapat dikesan’ tidak ada kaitan langsung dengan kemampuan untuk meneruskan rayuan,” katanya.

Terdahulu, Jabatan Peguam Negara memaklumkan keputusan tidak merayu pembebasan Rosmah daripada 17 pertuduhan pengubahan wang haram dan pengelakan cukai tidak akan menjejaskan prosiding lain yang masih berjalan terhadap tertuduh.

Jabatan itu berkata, pihaknya menerima rekod rayuan daripada Mahkamah Tinggi pada 30 Okt berhubung keputusan membebaskan isteri bekas perdana menteri Najib Razak itu.

“Antara faktor diambil kira ialah pihak pendakwaan tidak dapat buktikan kes melampaui keraguan munasabah yang diperlukan dalam sesuatu perbicaraan mahkamah kerana ada saksi-saksi penting sudah meninggal dunia dan tidak lagi dapat dikesan,” katanya dalam kenyataan.

Semalam, peguam Amer Hamzah Arshad, seorang daripada pasukan undang-undang Rosmah berkata mereka menerima salinan notis daripada pendakwaan berkaitan penarikan balik rayuan difailkan di Mahkamah Rayuan dua hari lalu.

Rosmah, 74, dibicarakan atas 12 pertuduhan pengubahan wang membabitkan RM7.09 juta dan lima pertuduhan gagal mengisytiharkan pendapatannya kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.