
Bekas perdana menteri itu berkata, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng baru-baru ini mengesahkan hutang Pulau Pinang berjaya dikurangkan sebanyak 90% disebabkan bantuan kewangan daripada kerajaan pusat ketika itu.
“Selain bantuan tunai yang lain, kerajaan pusat juga telah memberi pertolongan geran sebanyak RM1.3 bilion kepada Pulau Pinang bagi menaikkan kapasiti Empangan Mengkuang pada masa sama,” tulisnya di Facebook hari ini.
“Adakah kerajaan Barisan Nasional (BN) memperlekehkan Pulau Pinang ketika itu dan bertanya mengapa kerajaan negeri yang maju dan kaya tidak dapat menampung keperluan air sendiri?
“Maka, apa keperluan kerajaan pusat Pakatan Harapan (PH) menghina Kelantan yang kadangkala memerlukan pertolongan bagi membayar gaji pejawat awam – terutamanya selepas banjir teruk pada akhir 2014?” soalnya ketika mempertahankan kerajaan Kelantan sambil menyuarakan rasa kurang senang dengan serangan pemimpin DAP sejak minggu lalu.
Ahli Parlimen Pekan itu turut mempersoalkan tindakan Putrajaya mendedahkan surat sulit kerajaan Kelantan kepada kerajaan pusat untuk memohon bantuan kewangan.
Rabu lalu, Lim menunjukkan surat kerajaan Kelantan memohon pinjaman pendahuluan sebanyak RM97 juta, Jun lalu, untuk menampung aliran tunainya akibat perbelanjaan luar jangka.
Bagaimanapun, katanya, Kementerian Kewangan hanya meluluskan RM22.5 juta kepada Kelantan untuk membayar gaji penjawat awam.
Tindakan Lim itu menyusul kritikan terhadap dakwaannya dalam sidang Dewan Rakyat, Isnin lalu, yang Kelantan tidak mampu membayar gaji penjawat awam.
Selain Lim, Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim hari ini turut mendedahkan Kelantan hanya mampu membayar RM3.94 juta pada 2016 berbanding hutangnya RM395.83 juta kepada kerajaan pusat dan negeri itu berdepan defisit RM1.1 bilion dari 2012 hingga 2016.
Hari ini, Najib mengakui Kelantan antara negeri termiskin ketika ini disebabkan tindakan kerajaan BN di bawah pemerintahan Tun Dr Mahathir Mohamad semasa menjadi perdana menteri ke-4.
Beliau mendakwa kerajaan pusat menghentikan pelbagai projek pembangunan dan kemudahan asas, selepas Kelantan diambil alih PAS pada 1990 menyebabkan tiada lebuh raya atau infrastruktur air bersih yang sempurna.
“Kerana faktor ini, sumber pendapatan dan pembangunan kerajaan negeri terbantut.”
Katanya, ketika menjadi perdana menteri, beliau menyalurkan banyak peruntukan untuk membangunkan Kelantan, termasuk dari segi infrastruktur pengangkutan dan air, projek kumbahan dan penebatan banjir.
Atas dasar itu, beliau berkata, kerajaan Kelantan berjaya mengurangkan defisit setiap tahun dan keluaran dalam negara kasar (KDNK) negeri itu meningkat.
“Negeri yang kurang pembangunan patut dibantu dengan lebih banyak oleh kerajaan pusat – bukan dihina dan diperlekehkan dengan berterusan.”