Kajian: Anjing boleh kesan malaria

Kajian: Anjing boleh kesan malaria

Anjing penghidu boleh dilatih untuk mengesan seseorang itu dijangkiti malaria, walaupun tanpa sebarang simptom.

Anjing penghidu diberi stokin nilon yang dipakai kanak-kanak untuk menentukan mereka positif malaria.
LONDON:
Satu kajian dijalankan Universiti Durham mendapati anjing penghidu boleh dilatih untuk mengesan seseorang itu dijangkiti malaria, walaupun tanpa sebarang simptom.

“Walaupun penemuan itu masih di peringkat awal, secara dasarnya ia menunjukkan anjing penghidu boleh dilatih mengesan malaria, dengan tahap ketepatan yang boleh dipercayai,” kata penyelidik universiti itu dalam kenyataan akhbar.

Menurut agensi berita Xinhua, penyelidik dijalankan menggunakan sampel stokin nilon yang dipakai kanak-kanak yang kelihatan sihat, berumur 5 hingga 14 tahun di Wilayah Sungai Upper Gambia di Afrika Barat.

Sebanyak 175 sampel termasuk 30 kanak-kanak positif malaria dan selebihnya negatif.

Menurut penyelidik, anjing itu dapat mengenal pasti 70% sampel dijangkiti dengan tepat dan 90% sampel tanpa parasit malaria.

Menurut Laporan Malaria Sedunia yang terbaru, terdapat kira-kira 216 juta kes pada 2016, peningkatan sebanyak 5 juta kes berbanding tahun sebelumnya. Jumlah kematian pula seramai 445,000 orang.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.