Lelaki tular rendam anjing dalam tangki berisi air ditahan

Lelaki tular rendam anjing dalam tangki berisi air ditahan

Tangkapan itu susulan laporan polis dibuat orang awam yang melihat video tular di TikTok.

rendam anak anjing
Tangkap layar video tular menunjukkan suspek menganiaya seekor anjing dengan merendam haiwan terbabit dalam tangki berisi air di Shah Alam.
PETALING JAYA:
Seorang lelaki ditahan polis semalam selepas disyaki menganiaya seekor anjing dengan merendam haiwan terbabit dalam dalam tangki berisi air di sebuah tapak pembinaan di Seksyen 32, Shah Alam.

Ketua Polis Shah Alam, Ramsay Embol, berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada 2.14 pagi daripada orang awam yang melihat video itu di TikTok.

“Kandungan video tersebut memaparkan seorang lelaki bertindak kasar merendam seekor anak anjing ke dalam sebuah tangki berisi air.

“Bertindak atas maklumat, kira-kira jam 3.40 petang hari, pihak polis menangkap seorang lelaki disyaki warga tempatan berusia awal 20-an di kawasan lokasi kejadian.

“Semasa tangkapan dibuat, tiga ekor anjing turut dirampas bersama suspek dengan bantuan kehadiran pihak Jabatan Perkhidmatan Veterinar Selangor untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan, menurut Harian Metro.

Menurutnya, kes terbabit disiasat mengikut Seksyen 29 Akta Kebajikan Haiwan 2015 dan Seksyen 428 Kanun Keseksaan.

“Mana-mana individu yang mempunyai maklumat lanjut boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Laymand Rayne di talian 014-6907071,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.