5 perkara menarik mengenai ‘kolam’ yang ramai tak tahu

“Apa tujuan sebenar membuat kolam?” tanya seorang rakan sekerja. Mungkin ramai di luar sana masih buntu mengenai sebab sebenar di sebalik adanya kolam yang menghiasi kediaman kaum India menjelang perayaan Deepavali.

Jangankan bukan India, dalam kalangan bangsa India pun, masih ada yang tidak tahu tujuan sebenar menghiasi rumah dengan lukisan berwarna atau tepung beras itu.

Ramai yang sekadar melakukannya bagi memenuhi keperluan budaya, mengikut arahan atau ikutan orang tua dan sebagai trend semasa.

FMT Ohsem, menyenarai beberapa fakta menarik mengenai hiasan kolam yang menjadi antara perkara yang memeriahkan lagi sambutan seperti Deepavali ini.

Kalau nak tahu, jom baca maklumat di bawah:

1. Makanan untuk burung dan serangga
Sebab utama sesuatu kolam dihasilkan adalah sebagai makanan untuk serangga dan burung di sekitar rumah. Agama Hindu mengalakkan pengikutnya untuk menunjukkan kebajikan kepada semua, termasuk haiwan, jadi apabila membuat kolam menggunakan tepung beras atau beras berwarna, ia adalah sebagai sumber makanan untuk kehidupan tersebut. Jadi selain mencantikkan kediaman dengan corak hiasan yang menawan, elemen kebajikan juga diterapkan bermula di dipintu masuk rumah lagi. Jadi kalau anda lihat ada seranggga atau burung makan beras kolam, jangan halau, itulah tujuan paling utamanya!

2. Kolam bawa kesejahteraan
Sama ada kolam yang menggunakan tepung beras yang dicairkan, berbentuk serbuk yang di lukis dengan corak bertitik yang unik ataupun kolam ranggoli yang menggunakan beras berwarna-warni, ia dipercayai bersifat ‘ong’ atau makmur. Bayangkan restu serangga apabila ia menikmati sumber makanan yang diderma kepadanya setiap pagi; bayangkan juga aura positif daripada setiap warna yang digunakan dalam ‘kolam ranggoli’ sekali gus menambah keceriaan semula jadi; serta ketahui juga beras mempunyai konotasi positif di mana ia dilihat sebagai sumber makanan ruji warga India. Maka dari segi kepercayaan agama Hindu, kolam bawa kesejahteraan, kekayaan dan makmur.

3. Menajamkan pemikiran
Kolam secara amnya dilukis atau dibuat oleh kaum wanita sesebuah keluarga. Walaupun wanita digambarkan sebagai suri rumah yang tipikal, tetapi perbuatan melukis kolam yang menggunakan corak yang kompleks dan teliti, padanan warna yang menawan menjadikan wanita lebih terlatih dalam hal berkaitan penelitian, kerja-kerja halus, kesabaran yang tinggi dalam melaksana sesuatu kerja dan kebijakan menggunakan warna. Tengoklah cara mereka berpakaian sebagai contoh, sari yang sarat dengan warna-warna menarik dan corak menawan!

4. Bukan hanya untuk Deepavali
Kolam tak semestinya hanya dibuat pada sambutan Deepavali. Di India, kebanyakan kediaman Hindu akan melukis kolam setiap hari di pintu masuk rumah. Ataupun ada bulan dan perayaan lain yang mewajibkan pembuatan kolam seperti bulan Margali dalam kalender Tamil dan perayaan Ponggal. Kolam di Malaysia lebih bersifat tarikan pelancongan apabila ia dibuat di tempat awam, pusat beli-belah dan sebagai aktiviti kebudayaan.

5. Kolam terbesar oleh pasukan Astro Seithigal
Baru-baru ini pasukan Astro Seithigal membuat rekod tersendiri apabila berjaya membuat hiasan kolam terbesar di Malaysia. Kejayaan yang direkod dalam Malaysia Book of Records sebagai “Seni Potret Terbesar diperbuat daripada Bijian Berwarna” itu akan dipamerkan di IOI City Mall, Putrajaya sehingga 2 Nov ini. Astro Seithiggal menggunakan 20 orang tenaga kerja untuk membuat kolam berukuran 487.7 meter persegi yang mengambil masa 10 jam untuk disiapkan.