Siaran langsung kes Najib akan cemari perbicaraan, kata peguam

Siaran langsung kes Najib akan cemari perbicaraan, kata peguam

Jika disiarkan secara langsung, saksi mungkin akan menyesuaikan keterangan mereka mengikut testimoni saksi yang memberi keterangan lebih awal.

Peguam Jagjit Singh berkata, prosiding mahkamah tidak boleh disamakan dengan perlawanan bola sepak liga perdana Inggeris atau prosiding di Parlimen. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Siaran langsung perbicaraan, terutama bagi kes mempunyai kepentingan awam, tidak boleh dilaksanakan kerana ia akan mencemarkan integriti prosiding, kata peguam.

Peguam Jagjit Singh berkata, sekiranya disiarkan secara langsung, saksi mungkin akan menyesuaikan keterangan mereka mengikut testimoni saksi yang memberi keterangan lebih awal.

“Pelaksanaan keadilan akan tercemar,” kata Jagjit yang pernah berkhidmat sebagai hakim Mahkamah Sesyen sebelum bersara 2 tahun lepas.

Beliau berkata, prosiding mahkamah tidak boleh disamakan dengan perlawanan bola sepak liga perdana Inggeris atau prosiding di Parlimen.

Dalam perbicaraan, saksi tidak dibenarkan berada di mahkamah untuk mengikuti prosiding sebelum mereka memberi keterangan.

Jagjit berkata, Seksyen 7 Kanun Acara Jenayah dan Seksyen 15 Akta Mahkamah Kehakiman hanya menyebut bahawa prosiding adalah terbuka kepada orang awam. Ini katanya, tidak boleh diperluaskan kepada siaran langsung.

“Saya tidak pernah mendengar insiden perbicaraan disiarkan kepada orang awam sepanjang 30 tahun berkhidmat dalam bidang kehakiman dan undang-undang,” katanya.

Jagjit memberi respons terhadap satu cadangan, yang dipersetujui peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak terhadap 38 pertuduhan jenayah, supaya perbicaraan itu disiarkan secara langsung.

Shafee menyifatkan cadangan siaran langsung perbicaraan Najib idea yang baik dengan berkata, ia akan membolehkan prosiding berkenaan dijalankan dengan telus.

Seorang anggota media mencadangkan idea itu dalam sidang akhbar Shafee selepas prosiding mahkamah berkaitan kes 1MDB dan SRC International yang membabitkan Najib sebelum itu.

Sementara itu, peguam N Sivananthan berkata, siaran langsung untuk khalayak di luar mahkamah tidak boleh dilakukan kerana kredibiliti saksi akan dipersoalkan.

“Bakal saksi tidak dibenarkan mengikuti keseluruhan prosiding sehingga dan setelah mereka mereka selesai memberi keterangan,” katanya.

Sivananthan berkata, siaran langsung prosiding bagi menyiasat kematian Teoh Beng Hock oleh Suruhanjaya Siasatan Diraja 6 tahun lepas adalah berbeza kerana ia bukan satu perbicaraan.

“Pada waktu itu ada saksi yang dipanggil memberi keterangan, tetapi tidak ada orang yang dituduh yang dibicarakan,” katanya.

Peguam Salim Bashir berkata, membenarkan perbicaraan disiarkan secara langsung adalah sama seperti membenarkan semua saksi berada di galeri awam untuk mengikuti kes berkenaan.

Katanya, pembunuhan warga Korea Utara, Kim Jong Nam di Mahkamah Tinggi Shah Alam adalah kekecualian kerana ruang mahkamah terlalu kecil untuk membolehkan semua wakil media masuk.

“Pentadbir mahkamah memberi kelonggaran bagi membolehkan seramai mungkin wakil media tempatan dan asing membuat liputan kes tersebut,” kata Bashir, yang mewakili salah seorang tertuduh dalam perbicaraan itu.

Salim berkata, mahkamah juga menyediakan siaran langsung kepada media 4 kali ketika Najib didakwa dan juga semasa prosiding permohonan ikat jamin beliau.

“Kelonggaran itu tidak boleh diperluaskan apabila perbicaraan Najib bermula dan saksi memberi keterangan,” katanya.

Pada Khamis lepas, Menteri Komunikasi dan Multimedia Gobind Singh Deo menolak cadangan itu dan berkata, perbicaraan Najib tidak akan disiarkan secara langsung.

Beliau berkata, RTM dan Bernama akan menyediakan liputan biasa perbicaraan tersebut.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.