
Sumber SPRM memberitahu FMT tangkapan itu dibuat di Kuala Lumpur pada pukul 9 malam tadi.
Sumber SPRM itu bagaimanapun tidak mendedahkan identiti ketua bahagian PKR tersebut.
“Dia ketua bahagian dan ahli Jawatankuasa Pusat PKR Kuala Lumpur. Dia disiasat berkaitan aduan PKR Cabang Julau,” katanya.
Sumber SPRM juga berkata, ketua bahagian PKR itu mendapat perintah reman satu hari daripada mahkamah.
Beliau berkata, belum dapat dipastikan sama ada akan ada penangkapan lain selepas ini berkaitan perkara tersebut.
Pada 25 Oktober lalu, PKR Sarawak membuat laporan kepada SPRM berhubung isu itu setelah bantahan yang dibuat tidak dihiraukan dalam pemilihan parti berkenaan.
Menurut Setiausaha PKR Sarawak, Nicholas Bawin, laporan tersebut terpaksa dibuat berikutan tiada tindakan susulan diambil oleh Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail.
Sebelum ini, PKR Sarawak mengemukakan aduan berhubung kejanggalan keanggotaan di PKR Cabang Julau yang jumlah ahlinya bertambah kepada lebih 13,000 daripada 603 pada Jun lalu, satu hari menjelang pemilihan pucuk pimpinan parti itu.
Bagaimanapun, Saifuddin memaklumkan aduan pertambahan mendadak ahli PKR itu dipertanggungjawabkan kepada penyandang jawatan naib presiden parti, iaitu Dr Xavier Jayakumar.
Sumber SPRM juga mengesahkan telah pergi ke ibu pejabat PKR semalam bagi menyiasat perkara itu.