
Tiga belas cabang PKR terlibat dalam fasa terakhir proses pemilihan berkenaan pada hari ini ialah Putatan, Penampang, Kimanis, Papar, Tenom, Pensiangan, Kudat, Kota Belud, Ranau, Beluran, Kinabatangan, Silam, dan Semporna.
Proses pengundian bagi memilih barisan kepimpinan baharu peringkat pusat dan cabang PKR negeri Sabah menggunakan sistem e-undi itu bermula serentak pada 9 pagi dan dijangka berakhir 5 petang.
Di PENAMPANG, tinjauan mendapati suasana sekitar pusat pemilihan PKR bagi cabang berkenaan setakat pagi ini berjalan lancar dengan para anggota parti sudah mulai memenuhi perkarangan pusat pengundian di Dewan Kampung Nosoob Baru, dekat sini, seawal jam 7.30 pagi.
Pembantu Menteri Kewangan Sabah Kenny Chua yang juga naib pengerusi PKR negeri ketika ditemui berkata, proses pengundian di pusat pemilihan itu berlangsung dalam keadaan aman.
Penyandang jawatan ketua Cabang PKR Penampang itu yang tiba di dewan berkenaan kira-kira 9 pagi tadi turut membuat pengundian menerusi sistem e-undi sebelum meluangkan masa meninjau sekitar pusat pemilihan parti tersebut.
“Persiapan semua bagus dan kita menyediakan tempat (pusat pengundian) yang sesuai. Semua kemudahan diperlukan ada selain turut menempatkan 5 anggota polis dan 20 anggota RELA bagi memantau kelancaran serta memastikan keselamatan di pusat pemilihan ini,” katanya, yang turut bertanding bagi jawatan ketua Cabang Penampang, pada pemilihan itu.
Dalam pada itu, Chua berharap 1,000 daripada 3,500 anggota PKR Penampang keluar melaksanakan tanggungjawab mereka mengundi kepimpinan baharu parti pada pemilihan tersebut.
Semalam, 12 cabang PKR di Sabah melaksanakan fasa pertama proses pemilihan parti itu melibatkan Kota Marudu, Tuaran, Sepanggar, Kota Kinabalu, Beaufort, Sipitang, Keningau, Libaran, Batu Sapi, Sandakan, Tawau dan Kalabakan.
Pusat pengundian di 12 cabang berkenaan dibuka pada 8 pagi dan ditutup 4 petang semalam, dengan dianggarkan lebih 40% daripada jumlah anggota di kesemua cabang itu keluar mengundi.
Fasa pertama pemilihan parti itu antara lain menyaksikan Timbalan Ketua Menteri Sabah Datuk Christina Liew yang juga pengerusi PKR negeri berjaya mempertahankan jawatannya sebagai ketua Cabang Kota Kinabalu selepas menewaskan pencabarnya Julian Lai dengan memperoleh 541 undi.