Najib bebas buat kenyataan jika tidak langgar undang-undang, kata Kadir Jasin

Najib bebas buat kenyataan jika tidak langgar undang-undang, kata Kadir Jasin

Seseorang tertuduh boleh membuat kenyataan di luar mahkamah jika tidak berkaitan dengan kes yang dihadapinya.

Kadir berkata, tidak ada orang menyokong Najib selepas beliau disingkirkan. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak bebas mengeluarkan sebarang kenyataan dalam media sosial selagi ia tidak bercanggah dengan undang-undang, kata Datuk A Kadir Jasin.

Penasihat khas media dan komunikasi kepada perdana menteri itu berkata, seseorang tertuduh masih boleh membuat sebarang kenyataan di luar mahkamah jika ia tidak berkaitan dengan kes yang dihadapinya.

“Sekiranya dia tidak melanggar undang-undang, saya fikir kita tidak boleh menghalangnya. Saya tidak fikir ada orang menyokongnya selepas mereka menyingkirkan dia.

“Jika dia masih tidak didapati bersalah, biarkan dia bercakap,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalah daripada peserta sesi ceramah bertajuk “Pasca 9 Mei – Di Manakah Kita Menuju dalam Malaysia Baharu” anjuran firma guaman, Lee Hishammuddin Allen dan Gledhill, di sini semalam.

Kepada soalan mengapa Najib tidak memakai baju lokap Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berwarna jingga, A Kadir berkata, beliau juga hairan dengan keputusan SPRM itu, sambil menegaskan setiap orang yang ditangkap oleh suruhanjaya itu perlu diperlakukan sama rata.

Sambil menggesa hadirin yang sebahagian besarnya adalah peguam untuk menyuarakan perkara itu, beliau menegaskan keadilan bukan sahaja perlu ditegakkan, malah perlu dilihat telah ditegakkan.

“Saya pasti ada saiz yang padan dengan beliau. Saya tetap percaya bahawa kita perlu mendesak supaya setiap orang diberi layanan sama,” katanya.

Najib sebelum ini ditahan semalaman dan dihadapkan ke mahkamah untuk berdepan 4 pertuduhan rasuah serta 21 pertuduhan pengubahan wang haram pada 20 Sept lepas mengikut Seksyen 23 (1) Akta SPRM dan beliau dibawa ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur dengan tidak digari atau memakai baju lokap.

Mengenai dakwaan bahawa kerajaan hanya mendakwa pemimpin daripada era Najib manakala pemimpin daripada era Dr Mahathir pula dilindungi, A Kadir menjelaskan kerajaan tidak mengamalkan pilih kasih.

“Najib adalah daripada era Tun Mahathir, dan Tun Mahathir jugalah yang menjadikan beliau menteri besar paling muda dalam sejarah Malaysia,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.