Perwakilan Perlis PKR gesa henti pergaduhan ‘kem Azmin’ dengan ‘kem Rafizi’

Perwakilan Perlis PKR gesa henti pergaduhan ‘kem Azmin’ dengan ‘kem Rafizi’

PKR tidak lagi memerlukan pertelagahan antara mana-mana pemimpinnya.

Sejurus selepas Tengku Nazri tamat berbahas, Azmin dan Rafizi kelihatan bangun bergandingan mengangkat tangan bersama-sama, sambil saling mencium pipi masing-masing.
SHAH ALAM:
Perwakilan PKR Perlis, Tengku Nazri Tengku Aldin merayu agar “pergaduhan” antara Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Rafizi Ramli ditamatkan demi meneruskan agenda perjuangan parti itu.

Beliau yang membahaskan ucapan dasar Presiden PKR Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, demi perjuangan utama PKR, parti itu perlu melupakan sengketa yang berlaku lebih-lebih lagi selepas berjaya membentuk kerajaan.

“Menang, kita sudah menang, Putrajaya telah kita sampai sudah, Datuk Seri Anwar Ibrahim sudah dibawa keluar (dari penjara).

“Sekarang masa kita mengisi kemenangan ini. Saya minta dan merayu kepada ‘team Rafizi’ dan ‘team Azmin Ali’, hentikanlah…masa pemilihan dah habis,” katanya, disambut sorakan perwakilan yang berada di dalam dewan di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC), Shah Alam, hari ini.

Tengku Nazri berkata PKR tidak lagi memerlukan pertelagahan antara mana-mana pemimpinnya.

Beliau juga menggesa Anwar, yang bakal menjadi presiden PKR supaya meneliti semula proses pemilihan parti itu yang berlarutan sehingga 9 minggu.

“Dalam parti, kita tidak perlu ada 2 pahlawan, cukup Anwar Ibrahim sebagai pemimpin kita. Saya nak di bukit kita ini hanya ada satu singa sahaja,” katanya.

“Buatlah pembaharuan, yang keluar mengudi tak sampai 200,000 ahli, tetapi berapa hari kita kira tak habis lagi?

“India ada berpuluh juta pengundi, tidaklah susah sampai macam ini. Tolong angkat JPP (Jawatankuasa Pemilihan Parti) ke India, tengok macam mana mereka urus pemilihan,” kata beliau, disambut sorakan dan tepukan gemuruh perwakilan yang berdiri tanda menyokong ucapannya.

Sejurus selepas Tengku Nazri tamat berbahas, Azmin dan Rafizi kelihatan bangun bergandingan mengangkat tangan bersama-sama, sambil saling mencium pipi masing-masing.

Kepimpinan tertinggi PKR seperti Wan Azizah dan Anwar turut sama-sama berdiri memberi penghormatan kepada Tengku Nazri dengan diiringi laungan reformasi daripada perwakilan.

“Ini bukti betapa sayang dan cintanya kita kepada parti,” kata Tengku Nazri, sebelum meninggalkan pentas.

Seramai 2,735 perwakilan menyertai Kongres Nasional PKR kali ke-13 itu yang bermula dengan kongres Angkatan Muda Keadilan dan sayap Wanitanya semalam.

Kongres juga akan memperkenalkan barisan kepimpinan tertinggi PKR esok, yang antara lain menyaksikan ketua umum PKR, Anwar Ibrahim, dipilih sebagai presiden baru selepas memenangi jawatan itu tanpa ditandingi sebelum ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.