
Penganalisis politik bebas, Dr Kamarul Zaman Yusof dan pensyarah Universiti Malaya, Dr Awang Azman Awang Pawi berkata, pencalonan Mohamad, atau lebih dikenali dengan panggilan Tok Mat, akan memberi saingan sengit kepada pencabar beliau.
“Beliau bekas menteri besar dan timbalan presiden Umno,” kata Kamarul kepada FMT. “Lebih penting, beliau tidak diketahui terlibat dalam apa-apa isu.”
Katanya, Mohamad juga dikenali kerana perwatakannya dan dilihat rapat dengan rakyat di kawasan diwakili beliau.
Awang Azman bersetuju bahawa Mohamad merupakan calon terbaik Umno memandangkan populariti beliau dalam kalangan rakyat.
Bagaimanapun beliau mengingatkan bahawa kemenangan Mohamad tidaklah terjamin kerana negeri itu kini dikuasai Pakatan Harapan (PH), selain faktor pemilihan Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Ahli Parlimen Port Dickson baru-baru ini.
“Persaingan pasti sengit kerana Anwar, yang juga dikenali sebagai perdana menteri menunggu, tentunya akan membantu kemenangan calon daripada partinya.
“Selain itu, PH mempunyai lebih banyak kerusi di Dewan Undangan Negeri yang boleh memberi kelebihan kepadanya.”
Awang Azman berkata, isu seperti skandal 1MDB terus menghantui Umno sejak PH mengambil alih kuasa di Putrajaya.
Pilihan raya kecil Rantau diperintah diadakan oleh Mahkamah Pilihan raya semalam selepas hakim Datuk Azimah Omar menerima petisyen yang difailkan oleh bekas calon PKR, Dr Streram Sinnasamy untuk membatalkan keputusan pilihan raya kerusi berkenaan.
Azimah berkata, Mohamad tidak dipilih secara sah, dan kerusi tersebut akan ditandingi sekiranya Stretram dibenarkan memfailkan kertas pencalonannya pada 28 April lepas.
Pengarah eksekutif Merdeka Center, Ibrahim Sufian berkata, pemilihan Mohamad oleh Umno untuk bertanding di kerusi itu memang dijangka.
Berdasarkan kedudukan Mohamad sebagai timbalan presiden Umno katanya, penamaan beliau sebagai calon di situ merupakan persoalan maruah parti.
Dalam pada itu, Kamarul mengingatkan PKR supaya tidak mencalonkan Stretram kerana adalah lebih baik sekiranya parti itu meletakan calon bertaraf nasional, walaupun jika ia bermakna meletakkan seseorang yang tidak berasal dari Negeri Sembilan.
Peluang PKR menang akan menjadi lebih besar jika ia meletakkan calon lebih sesuai,” katanya kepada FMT.
Ia juga merupakan peluang PKR untuk menguatkan kedudukannya di negeri tersebut, tambahnya.
“Daripada 36 kerusi negeri, 11 kerusi dimiliki oleh DAP, 6 PKR dan 3 Amanah.
“Jika PKR menang di Rantau, kerusinya akan bertambah menjadi 7.”
Awang Azman bersetuju terdapat banyak calon lain yang boleh dipertimbangkan oleh PKR, selain Stretram.
“PKR tidak semestinya meletakkan beliau sebagai calon.”