Henti perlekeh usaha angkat Anwar sebagai PM ke-8, kata Rafizi

Henti perlekeh usaha angkat Anwar sebagai PM ke-8, kata Rafizi

Berucap dalam sesi pergulungan Kongres Nasional PKR ke-13 hari ini, Rafizi menyeru supaya niat untuk memperlekeh usaha itu dihentikan.

Rafizi berkata, perbezaan pendapat dibolehkan, tetapi tidak sehingga membuka ruang kepada orang luar menyerang parti.
SHAH ALAM:
Rafizi Ramli mendakwa terdapat pimpinan kanan PKR yang memperlekeh usaha untuk mengangkat bakal presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri ke-8.

Berucap dalam sesi pergulungan Kongres Nasional PKR ke-13 hari ini, Rafizi berkata, sebagai naib presiden parti, beliau menyeru supaya niat untuk memperlekeh usaha itu dihentikan.

“Kita boleh berbeza pandangan, tetapi kita tidak boleh berbeza pandangan mengenai perdana menteri ke-8.

“Saya ingin lahirkan rasa sedikit kecewa tentang adanya perbincangan dalam WhatsApp dan ‘posting’ dalam Facebook, kadang-kadang oleh pimpinan kanan parti sendiri, yang perlekehkan usaha untuk mengangkat Anwar sebagai PM ke-8,” katanya, di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC), di sini.

Sebelum ini Pakatan Harapan bersetuju melantik Anwar sebagai perdana menteri ke-8 selepas Tun Dr Mahathir Mohamad diangkat menjadi perdana menteri.

Pada Sept lepas, Dr Mahathir berkata, beliau akan menghormati perjanjian dalam kalangan komponen PH bahawa beliau akan berperanan sebagai perdana menteri sementara selama 2 tahun sebelum menyerahkan kepimpinan negara kepada Anwar.

Rafizi berkata, perbezaan pendapat dibolehkan, tetapi tidak sehingga ia membuka ruang kepada pihak di luar menyerang parti.

“Merendah-rendahkan pemimpin parti akan memberi ruang kepada orang di luar untuk menyerang parti dan Anwar sebagai calon perdana menteri ke 8. Saya minta hentikan segera.

“Sekarang Anwar bakal menjadi presiden baru PKR dan ke arah jadi perdana menteri.

“Tugas dan tanggungjawab kita ialah membantu amanat itu supaya parti dapat berbakti kepada rakyat dan ia menjadi tanggungjawab setiap ahli,” kataya.

Dalam pada itu, Naib Presiden PKR, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin mengingatkan perwakilan dan ahli parti itu supaya tidak menjadi “Si-Kitol moden” yang melaga-lagakan antara Dr Mahathir dengan Anwar.

Berucap semasa sesi penggulungan, Shamsul berkata Kongres Nasional parti itu tahun ini perlu menjadi titik penamat pengkhianatan yang berlaku dalam PKR dan PH.

“Kita kena ingat, sewaktu zaman empayar Melaka suatu ketika dulu, kita kalah bukan kerana tidak memiliki peralatan perang yang lengkap, tetapi disebabkan oleh Si-Kitol yang menjadi pengkhianat.

“Jadi jangan jadi Si-Kitol moden dalam PKR dan PH. Asasnya sekarang Dr Mahathir adalah perdana menteri, dan Anwar akan menyusul selepas ini (untuk menjadi perdana menteri),” katanya.

Watak Si Kitol diceritakan dalam naskhah Sulalatus Salatin atau Sejarah Melayu mengenai kebangkitan, kegemilangan dan kejatuhan Kesultanan Melayu Melaka.

Beliau disifatkan berperanan penting melakukan sabotaj terhadap kerajaan Melaka sehingga membawa kepada penjajahan Portugis pada 1511.

Shamsul juga meminta semua pihak tidak mempertikaikan gandingan Anwar dengan Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Beliau berkata sejak penubuhan PKR, Azmin merupakan individu bertanggungjawab membantu Anwar membawa perjuangan reformasi di negara ini.

“Gandingan Anwar dan Azmin jangan dipertikai. Jangan adu domba dan cucuk (2 pimpinan itu),” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.