
Presiden MCA itu berkata, sebagai gabungan yang mempunyai beberapa parti komponen, Zahid sepatutnya mengambil kira pandangan MCA yang tidak senang dengan tindakan Umno mahu bekerjasama dengan PAS, selepas mengalami kekalahan mengejut pada pilihan raya umum 9 Mei lalu.
“Kita kena berpegang kepada semangat yang kita mesti kerja bersama-sama. Kamu (Zahid) sebagai seorang individu dalam parti, kamu khianati semangat parti dan meminta parti lain (PAS) masuk dalam BN.
“Sudah tentu kamu (Zahid) kata kamu bebas dan boleh buat apa yang kamu suka, tetapi dalam masa yang sama, kita adalah BN, jaga juga perasaan parti lain,” katanya di lobi Parlimen hari ini.
Wee berkata, tindakan Umno sering mempelawa PAS yang tidak berminat bekerjasama dengannya juga memalukan.
Katanya, MCA dalam mesyuarat Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) 2 Disember ini akan membincangkan persetujuan untuk “membenarkan” PAS bergabung bersama BN.
“Saya akan biarkan CWC bincangkan perkara ini dan tentukan hala tuju parti selepas ini.
“Saya sedih melihat kenyataan (Datuk Seri Abdul) Hadi (Awang) yang seolah-olah menolak untuk menjalin kerjasama dengan BN, bagi saya itu adalah bahan jenaka.
“Saya sendiri pun tidak tahu apa yang Umno mahukan. Kamu mahu berkahwin dengan isteri kamu, tapi isteri kamu menolak, jadi kamu kena tanggung akibatnya.”
Sabtu lalu, Zahid secara terbuka mempelawa PAS menyertai Umno, selepas mengakui parti itu tersilap kerana bermusuhan dengan PAS selama ini.
Bagaimanapun, Hadi yang juga presiden PAS tidak mengulas pelawaan itu ketika berucap di pentas sama.
Ahli Parlimen Marang itu sebaliknya mengulangi bantahan PAS terhadap Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) dan memberi amaran akan mengadakan protes jika kerajaan menandatangani perjanjian antarabangsa yang kontroversi itu.