
Naib Canselor UUM, Prof Ahmad Bashawir Abdul Ghani mengakui satu pekeliling bertarikh 18 November dikeluarkan universiti itu, tetapi ia sekadar peringatan.
“Ia adalah peringatan kepada Peraturan 18 Tatakelakuan Akta Badan-badan Berkanun (Tatatertib dan Surcaj). Ia bukannya peraturan baru.
“Kami hanya mengulangi apa yang dilulus dan diamalkan sebelum ini, tetapi ia bukannya larangan menutup mulut. Kami hanya mengingatkan kakitangan kami, ketika kami menghargai pandangan berbeza, mereka perlu berbudi bahasa dalam menyuarakan pandangan mereka,” katanya kepada FMT.
Katanya, Peraturan 18 tidak bermakna kakitangan tidak boleh menyuarakan pandangan mereka.
Dalam pekeliling yang dilihat FMT, ia memetik Peraturan 18, pegawai universiti dimaklumkan mereka tidak boleh membuat kenyataan lisan atau bertulis yang boleh menjejaskan dasar, rancangan atau keputusan kerajaan atau menonjolkan kelemahan mereka.
Ia turut melarang sebarang kenyataan yang boleh memalukan kerajaan atau badan berkanunnya dikeluarkan, serta semua kenyataan media perlu diluluskan naib canselor.
Pada masa sama, ia turut melarang kakitangannya daripada bercakap secara positif mengenai sebarang dasar, rancangan atau keputusan kerajaan, ayau memberi maklumat berdasarkan fakta mengenai fungsi badan berkanun.
Pekeliling itu turut melarang kakitangan menyebarkan maklumat atau komen, termasuk yang dibuat pihak lain, kecuali ia diluluskan menteri. Ia diguna pakai ke atas semua kenyataan media, ucapan dan syarahan dalam sebarang bentuk penerbitan atau platform.
Sementara itu, Menteri Pendidikan, Maszlee Malik berharap pekeliling UUM itu kekal sebagai panduan dan tidak menyekat kebebasan bersuara ahli akademik serta pelajarnya.
Walaupun menghormati autonomi universiti awam, beliau akan terus mempertahankan hak ahli akademik untuk bersuara.
“Ahli akademik mesti terus diberi kebebasan untuk menyuarakan pandangan mereka dan menyokong isu-isu selagi mereka tidak melanggar undang-undang dalam berbuat demikian. Tidak perlu wujud kekeliruan dalam perkara ini.
“Berdasarkan semangat Malaysia Baharu, tidak wajar menyekat kebebasan bersuara sesiapapun.”