Bayar balik pinjaman PTPTN selepas gaji cecah RM2,000

Bayar balik pinjaman PTPTN selepas gaji cecah RM2,000

Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching berkata keputusan itu dicapai dalam mesyuarat Kabinet Jumaat lalu.

Teo Nie Ching berkata, pengecualian bayaran balik PTPTN bagi peminjam yang mendapat keputusan kelas pertama turut diperluas kepada isi rumah M40, berbanding B40 sebelum ini. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Kerajaan bersetuju menetapkan pemotongan gaji berjadual bagi peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) berpendapatan melebihi RM2,000 sebulan berbanding RM1,000 berdasarkan Belanjawan 2019 sebelum ini.

Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching berkata selain itu, kerajaan turut memutuskan pengecualian bayaran balik PTPTN bagi peminjam yang mendapat keputusan kelas pertama diperluas kepada isi rumah golongan pertengahan (M40) berbanding isi rumah berpendapatan rendah (B40) sebelum ini.

“Mesyuarat Jemaah Menteri pada 23 November 2018 memutuskan supaya potongan gaji kepada peminjam PTPTN sebanyak 2% atau RM40 sebaik sahaja gaji mereka mencecah RM2,000 dan potongan ini meningkat secara progresif sehingga 15% mengikut jumlah gaji bulanan peminjam.

“Mesyuarat Jemaah Menteri turut memutuskan memberi pengecualian bayaran balik PTPTN bukan sahaja kepada golongan B40, tetapi juga dipanjangkan kepada golongan M40.

“Pengecualian ini diberikan bukan sahaja kepada pelajar golongan M40 dari universiti awam, tetapi juga institut pengajian tinggi swasta (IPTS),” katanya dalam sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.

Teo menjawab soalan tambahan Wong Kah Woh (PH-Ipoh Timur) mengenai pengecualian bayaran balik PTPTN bagi pelajar mendapat keputusan cemerlang.

Pada pembentangan Belanjawan 2019 lalu, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng mengumumkan potongan gaji berjadual antara 2 hingga 15% daripada pendapatan bulanan peminjam yang berpendapatan melebihi RM1,000 sebulan, selain pengecualian bayaran bagi B40, jika graduan memperoleh ijazah sarjana muda kelas pertama.

Teo berkata, sehingga bulan lalu, seramai 53,113 pelajar mendapat pengecualian pembayaran PTPTN kerana memperoleh ijazah sarjana muda kelas pertama dengan 37,355 daripadanya pelajar universiti awam, manakala 15,758 pelajar IPTS.

Katanya, jumlah kutipan bayaran balik PTPTN yang diterima sejak Jun hingga September lalu berjumlah RM817.75 juta.

Menjawab soalan asal Wong mengenai lanjutan pengecualian bayaran PTPTN bagi pelajar separuh masa yang memperoleh keputusan cemerlang, katanya, PTPTN tidak berhasrat memberi pengecualian itu.

Teo turut menyatakan pelaksanaan pembayaran semula PTPTN bagi peminjam bergaji melebihi RM4,000 hanya akan dipertimbang semula, apabila kedudukan kewangan negara dalam keadaan kukuh.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.