Muhyiddin: Peguam pemaju jadi ‘dalang’ rusuhan kuil di Subang Jaya

Muhyiddin Yassin (tengah) ketika sidang media di KDN, hari ini.

KUALA LUMPUR: Menteri Dalam Negeri Tan Sri Muhyiddin Yassin mendedahkan peguam kepada syarikat pemaju yang juga pemilik tanah kuil Sri Maha Mariamman menjadi punca tercetusnya rusuhan di kuil di Subang Jaya itu.

Muhyiddin berkata, siasatan polis mendapati peguam yang mewakili One City Development Sdn Bhd menggunakan saluran tidak betul dengan mengupah sekumpulan lelaki Melayu “mengawal keadaan” kuil pada pagi 26 November, hari pemaju berusaha mengambil alih tapak kuil tersebut.

“Pihak pemaju sekali lagi merancang untuk mengambil alih tapak kuil yang dijadualkan bermula pada jam 7 pagi, 26 November 2018. Perbincangan mengenainya diadakan antara pihak pemaju dan ahli jawatankuasa kuil.

“Namun demikian, pihak dikaitkan dengan syarikat pemaju tidak mematuhi proses pengambilalihan tapak kuil sepertimana yang dirancang mengikut peruntukan undang-undang.

“Siasatan polis mendapati peguam kepada syarikat pemaju mengupah sekumpulan lelaki Melayu untuk menceroboh kuil tersebut dan mengawal kawasan kuil sebelum ketibaan pihak pemaju dan polis pada pagi 26 November 2018,” katanya dalam sidang media di Kementerian Dalam Negeri, hari ini.

Muhyiddin berkata, berdasarkan siasatan polis, wang sebanyak RM150,000 sudah diserahkan kepada ketua kumpulan Melayu itu untuk melakukan kerja menceroboh, mengambil alih dan mengawal kuil.

“Seramai lebih kurang 50 orang diupah untuk melakukan kerja ini yang setiap seorang daripada mereka menerima bayaran antara RM150 hingga RM300.

“Tindakan menceroboh yang amat tidak bertanggungjawab dan menyalahi undang-undang ini menimbulkan kemarahan penganut agama Hindu yang berada di kawasan kejadian sehingga menimbulkan kekecohan, pergaduhan dan kerosakan harta benda,” katanya.

Muhyiddin bagaimanapun berkata, sehingga kini pihaknya masih belum mendapatkan kepastian adakah peguam mewakili pemaju itu bertindak atas arahan anak guamnya atau bertindak secara bersendirian.

“Andaian kita, dia peguam mewakili One City dan dia diberi peruntukan. Saya tidak fikir peguam bermurah hati untuk beri duit kepada orang ini.

“Tentu ada kaitan dengan usaha untuk ambil tanah ini. Tetapi langkah peguam inilah yang menyebabkan apa yang berlaku. Ini satu tindakan yang tidak tepat,” katanya.

Jelasnya, 2 peguam berbangsa Melayu dan Cina yang mewakili pemaju merupakan antara 21 individu yang ditahan polis bagi membantu siasatan berhubung insiden rusuhan berkenaan.

“Kita akan ambil tindakan lanjut, bagaimana tindakan ini boleh berlaku,” katanya.

Muhyiddin turut menegaskan insiden pergaduhan di Kuil Sri Maha Mariamman tiada kaitan sama sekali dengan isu perkauman seperti didakwa pelbagai pihak melalui mesej yang tular di media sosial.

“Masyarakat pelbagai kaum di Malaysia hidup secara aman dan harmoni sejak sekian lama. Bersabar, jangan sebar berita palsu dalam media sosial seolah-olah benar. Ini keadaan yang memerlukan kerjasama dari semua pihak.

“Kita harus fokus kepada isu pokok dihadapi rakyat seperti isu ekonomi. Tidak mungkin kerana satu kejadian terpencil yang membabitkan pertikaian antara jawatankuasa kuil dan pihak pemaju dijadikan sebab mengeruhkan hubungan kaum dan agama di negara kita.”