PAS saran TH distruktur semula

PAS saran TH distruktur semula

PAS berkata TH perlu diperkasa untuk menyempurnakan urusan haji umat Islam sama ada daripada profesionalisme pengurusannya mahupun janaan subsidi hasil pelaburannya.

Khalil Abdul Hadi berkata dakwaan pelanggaran Akta Tabung Haji 1995 perlu dibawa ke muka pengadilan. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Penstrukturan kewangan dan pengurusan lembaga Tabung Haji (TH) mestilah kembali kepada objektif asalnya supaya tidak digugat oleh sebarang angkara dan kecurangan.

Ketua Pemuda PAS Muhammad Khalil Abdul Hadi dalam satu kenyataan hari ini berkata TH bahkan perlu diperkasa lagi untuk berperanan menyempurnakan urusan haji umat Islam di Malaysia sama ada daripada profesionalisme pengurusannya mahupun janaan subsidi hasil pelaburannya.

“Reputasi TH sebagai badan yang menyimpan deposit terbesar umat Islam negara ini untuk menunaikan rukun Islam ke-5 mesti diamankan daripada sebarang unsur politik.

“Kepercayaan pendeposit dan umat Islam keseluruhannya mesti sama sekali tidak diracuni oleh sebarang kecurigaan atau momokan yang boleh menjejaskan institusi penting itu sendiri,” katanya.

Khalil turut berkata pelanggaran Akta Tabung Haji 1995 yang didakwa menteri terbabit perlu segera dibawa ke muka pengadilan dan segala keterangan mesti dibawa kepada pihak berwajib untuk diambil tindakan.

Dalam pada itu, beliau berkata Pemuda PAS juga mengambil berat kaedah penstrukturan dengan mewujudkan “Special Purpose Vehicle” (SPV) bagi mengambil alih “underperforming asset” yang susut nilai ketara akibat ketidaktentuan pasaran kewangan pasca pilihan raya umum 14 (PRU14) dan “trade war” China-Amerika Syarikat.

Semalam, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof, berkata Kabinet bersetuju supaya pengurusan baharu TH mewujudkan SPV untuk memulihkan kedudukan kewangan agensi itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.