
Selepas sekian lama ‘ding dong ding dong last-last’ Perikatan Nasional pilih Ahmad Samsuri Mokhtar, pengerusinya yang juga naib presiden PAS dan menteri besar Terengganu sebagai ketua pembangkang .
Ini baru betul. Pengerusi PN jadi ketua pembangkang. Orang yang sama juga jadi ‘poster boy’ PN, dan jika ditakdirkan PN menang PRU mendatang lalu tubuh kerajaan persekutuan, Samsuri atau Dr Sam akan jadi perdana menteri.
Kata seorang pemerhati politik ‘pelantikan ini dilihat sebagai usaha pembangkang (PN) menjenamakan semula atau ‘rebranding’ imej mereka daripada pembangkang yang sekadar membantah kepada pembangkang menawarkan dasar alternatif’.
Samsuri kita tahu mengambil alih daripada Hamzah Zainudin yang dipecat Bersatu dan kini Ahli Parlimen tanpa parti sehingga artikel ini ditulis.
Saya setuju dengan pandangan pemerhati politik yang disebut tadi. Malah semasa Samsuri diangkat jadi pengerusi PN menggantikan Muhyididn Yassin harapan yang diletak pembangkang ke atas bahunya ialah untuk memberi imej ‘sober’ dan ‘moderate’ agar pengundi bukan Melayu terutama Cina tidak takut kepada PN terutama PAS lantas lari daripada mengundi gabungan itu.
Tidak dinafikan Samsuri layak dan berkemampuan. Bagaimanapun, ada suara termasuk dalam kalangan PAS sendiri yang menganggap Samsuri ‘is not stern or forceful enough’ untuk duduk kerusi pengerusi PN. Pendapat itu diluahkan beberapa hari selepas pelantikan beliau dulu.
Samsuri dilihat pemimpin tenang. Tidak riuh-rendah macam sesetengah pemimpin PAS, juga Bersatu. Beliau ‘soft spoken’. Bagi saya ini nilai positif.
Tetapi nilai ini dilihat sesetengah pihak propembangkang (jika bukan ahli parti) sebagai ‘too meek’.
Hanya beberapa jam selepas pelantikannya sebagai ketua pembangkang diumumkan semalam, sudah ada komen di media sosial dan antaranya berbunyi: “Semoga Dr Sam rajin bersuara dan jangan dok diam je”. Bagi mereka Samsuri tidak lantang atau tidak selantang yang mereka mahu.
Ada lagi kata mereka tetapi tidak perlu saya ulang di sini. Cukuplah saya kata rata-rata Samsuri, menurut mereka ‘wajib bersuara dengan jelas dan bernas’ di Dewan Rakyat.
Seorang kawan – ahli PAS berkata “macam tak ada orang sangat dah”. Tidak tahu sama ada si kawan ini merujuk Samsuri atau perkara lain. Yang pasti beliau suka Takiyuddin Hassan setiausaha agung PN/PAS jadi ketua pembangkang. Satu pilihan lagi beliau ialah Ketua Penerangan PAS Ahmad Fadhli Shaari.
Untuk berlaku adil perlu dinyatakan ramai juga yang menyokong pelantikan Samsuri dan menyifatkannya pemimpin ‘gred A bukan cap ayam’.
Saya melihat Dr Sam mampu sekurung-kurangnya menenang atau mengurangkan ‘anxiety’ masyarakat bukan Melayu yang menjauhkan diri daripada PN khasnya PAS akibat gelagat dan kenyataan pemimpin parti itu sendiri termasuk Presiden Hadi Awang yang menghiris perasaan bukan Melayu dan bukan Muslim.
Pun begitu seperti yang ditulis pada artiakel saya selepas Samsuri dilantik sebagai pengerusi PN Februari lalu, beliau adalah ‘anak emas’ Hadi. Pernah juga menjadi setiausaha politik Hadi. Singkatnya dididik oleh Hadi dan amat rapat dengan mentornya.
Lalu ‘geng ustaz’ dalam PAS yang selama ini tidak berkenan dengan golongan profesional ‘which Samsuri is one of them’, tidak buat bising apabila beliau jadi pengerusi PN kerana yakin andai Samsuri jadi PM dasar dan rancangan Islamis yang disenangi Hadi dan ulamanya akan dilaksanakan Samsuri.
Ini saya kira tidak menyenangkan masyarakat ‘non Muslim’ jika mereka menaruh harapan dasar dan perundangan yang mereka tidak suka tidak akan dilaksanakan pada peringat persekutuan oleh Samsuri. Apa yang mereka tidak suka? Kita tahu tak perlu dihuraikan. Ada orang Melayu/Islam pun yang tidak suka.
Tetapi, kata Zaid Ibrahim yang pernah menganggotai Umno, PKR, DAP selain tubuh parti sendiri, PAS sekarang berada hanya satu langkah daripada memerintah Malaysia dan Samsuri akan mentadbir negara ‘with courage and fearlessness, he will apply the law to all without fear and favour and the leadership that does not discriminate between the tribes and ethnicities‘.
Berkata pula Terence Netto wartawan senior menerusi penulisanya di FMT semalam bahawa sejak dilantik pengerusi PN Samsuri sememangnya dijangka berdepan cabaran besar untuk mencari nada politik sesuai.
Nada itu kata Netto pastinya memerlukan Samsuri bergerak ke tengah bukannya mengikut laluan yang akan mengkukuhkan imej sebagai tokoh kanan Melayu dan Islam.
Memendekkan cerita saya terus petik dua perenggan terakhir penulisan Netto yakni ‘memang dapat difahami bahawa Samsuri yang mahu mendekati pendirian lebih sederhana sebagai seseorang yang berpotensi menjadi perdana menteri Malaysia cuba membwa nada yang lebih lunak dan sederhana’.
Namun, kata Netto lagi Samsuri ‘masih perlu berdepan dengan pemimpin tertingginya sendiri dalam PAS. Itu bukan mudah’. Betul – itu memang susah. Perlu diingat juga Samsuri seperti dikata tadi anak didik yang ditatang Hadi. Takkan si anak akan derhaka?
Bercakap pula mengenai PAS itu sendiri. Umum tahu PAS menguasai PN. ‘Abang besar’ dalam gabungan itu. PAS cukup akrab dengan bekas timbalan presiden Bersatu Hamzah. ‘Or at least that’s the impression PAS been giving and showing to all’.
Umum pun tahu Muhyiddin dan Bersatu pimpinannya tidak mahu jika Hamzah dikekalkan sebagai ketua pembangkang. PAS ada kuasa tentukan siapa ketua pembangkang. Benar ia pilih Samsuri untuk melengkapkan penguasaannya dalam PN.
Tetapi, boleh juga dilihat PAS tidak pilih Hamzah kerana tidak mahu (tidak berani?) menyakitkan hati Muhyiddin dan Bersatu.
Sebab, suka atau tidak meskipun Bersatu lemah berbanding PAS ‘what more now’ – parti Hadi tetap perlukan parti Muhyidddin Yassin untuk beri sedikit- sebanyak wajah moderat kepada PN.
Lalu ia turuti kemahuan presiden Bersatu ‘much to the chagrin of Hamzah surely’. Bekas bos beliau juga mahu PAS tidak terima Hamzah masuk PN jika bekas timbalannya itu menubuhkan parti baharu atau apa pun. Kita tunggu dan lihat apa kisah seterusnya. Buat masa ini Muhyiddin 1 Hamzah 0.
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.