Pemakaian tali pinggang keledar penumpang belakang masih rendah

Pemakaian tali pinggang keledar penumpang belakang masih rendah

Miros berkata hanya 5% penumpang belakang memakai tali pinggang keledar.

Kematian dan kecederaan akibat kemalangan boleh diturunkan jika pemakaian tali pinggang keledar diutamakan. (Gambar Facebook)
KUALA LUMPUR:
Kadar pemakaian tali pinggang keledar masih rendah lagi di negara ini hingga mengakibatkan pemandu atau penumpang cedera parah mahupun melibatkan kematian, kata Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya (Miros).

Pengerusinya, Tan Sri Lee Lam Thye, berkata perkara ini boleh dielakkan jika aspek pemakaian tali pinggang keledar ditekankan, kesedaran orang ramai ditingkatkan dan aktiviti penguatkuasaan diperhebatkan.

“Pada masa ini, kadar pemakaian tali pinggang keledar bagi pemandu berada pada kadar 90% manakala penumpang hadapan pula pada kadar 70%. Bagi penumpang belakang pula, kadar pemakaian masih rendah iaitu kira-kira 5%,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Lee berkata kadar kematian dan kecederaan akibat kemalangan jalan raya boleh diturunkan jika aspek pemakaian tali pinggang keledar ini diutamakan.

Jelasnya, antara yang sepatutnya dilakukan adalah semua penumpang memasang tali pinggang keledar sebelum memulakan perjalanan dan kerusi keselamatan yang bersesuaian disediakan untuk bayi serta kanak-kanak.

 

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.