
Beliau yang tidak menjangkakan tindakan keluar parti beramai-ramai itu, mengakui menerima beberapa cadangan untuk mengembangkan sayap ke Sabah.
Tetapi, katanya, cadangan itu perlu dibincangkan dengan parti komponen lain dalam Pakatan Harapan (PH) dan sekutunya, Warisan bagi mengelakkan percanggahan kepentingan.
“Ada beberapa proses yang kami perlu lalui sebelum itu, termasuk berbincang dengan kepimpinan Sabah.
“Saya tidak fikir ia akan menjadi satu isu. Kami akan jelaskan keperluan mereka menilai situasi terkini di Sabah,” katanya selepas menyerahkan sumbangan RM100,000 bagi pihak Yayasan Golf Amal Tan Seri Muhyiddin Yasin (TSMGC) kepada 10 yayasan dan rumah kebajikan.
Terdahulu, Umno Sabah dilaporkan lumpuh selepas Ketuanya, Datuk Seri Hajiji Mohd Noor bersama 9 Adun, 4 ahli Parlimen, 2 senator dan 21 ketua bahagian di negeri itu keluar parti untuk menjadi ahli politik bebas.
Hajiji dilaporkan berkata, keputusan sebulat suara itu dibuat kerana “Umno tidak sama seperti dahulu”.
Ditanya jika mereka akan menyertai PPBM atau Warisan, Adun Karanaan, Datuk Seri Masidi Manjun yang turut menghadiri sidang media di Kota Kinabalu hari ini berkata, mereka mempertimbangkan semua pilihan.