Klinik gigi didenda RM320,000 sebabkan kematian menantu Zahid

Mahkamah membenarkan Imperial Dental Specialist Centre Sdn Bhd membayar denda itu dibayar secara berperingkat. (Gambar Website imperialdsc)

KUALA LUMPUR: Pusat pakar pergigian, Imperial Dental Specialist Centre Sdn Bhd, didenda RM320,000 oleh Mahkamah Sesyen hari ini selepas didapati bersalah atas 5 pertuduhan berhubung kematian menantu bekas timbalan perdana menteri, Datuk Syed Alman Zain Syed Alwi ketika menjalani rawatan gigi di situ.

Hakim Harmi Thamri Mohamad @ Shaharuddin membuat keputusan itu ke atas pusat tersebut yang diwakili ahli lembaga pengarah syarikat itu Dr Alice Wong Yen Lin, 47, selaku Orang Kena Saman (OKS) selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes itu.

“Mahkamah mengambil kira faktor-faktor yang selaras dengan peruntukan undang-undang supaya menjadi pengajaran dan teladan kepada semua pengamal perubatan dengan mematuhi standard Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” katanya sebelum menjatuhkan hukuman.

Mahkamah turut membenarkan hukuman denda itu dibayar secara berperingkat iaitu RM25,000 hari ini manakala bakinya RM295,000 dibayar bermula 21 Jan 2019 hingga 28 Jun 2019 dan OKS juga diperintahkan membayar kos pendakwaan sebanyak RM5,000.

Mahkamah menjatuhkan hukuman denda itu bagi pertuduhan ke-2, ke-3, ke-6, ke-7 dan ke-8 yang dihadapi pusat pakar pergigian itu.

Bagi pertuduhan ke-2 dan ke-3, OKS sebagai pemegang lesen didakwa gagal memastikan Noor Azima Muhamad Nuwi, 26, berkelayakan untuk menjalankan prosedur radiologi (ortopantomogram) terhadap Syed Alman Zain dan pusat tersebut sebagai pemegang lesen juga didapati gagal menyimpan dan menyenggarakan suatu “Daftar Kakitangan”.

Pertuduhan ke-6 pula, OKS dituduh gagal menyediakan langkah-langkah perlu bagi menyelamatkan nyawa Syed Alman Zain dengan tidak menyediakan oksigen.

Bagi pertuduhan ke-7, pusat itu didakwa gagal mengemukakan kepada Pusat Perubatan Universiti Malaya yang menerima pemindahan kecemasan pesakit iaitu Syed Alman Zain satu salinan semua rekod perubatan pesakit seperti yang dikehendaki di bawah Seksyen 31(1)(d) Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta 1998.

Di bawah pertuduhan ke-8, OKS didakwa gagal mengambil langkah yang mencukupi untuk melindungi semua kakitangan profesional jagaan kesihatan dan persekitaran terhadap bahaya biologikal seperti yang dikehendaki di bawah Peraturan 49(5) Peraturan-peraturan Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta (Hospital Swasta dan Kemudahan Jagaan Kesihatan Lain) 2006.

Pada 5 April lepas, mahkamah memerintahkan pusat itu membela diri atas 5 pertuduhan tersebut manakala selebihnya iaitu pertuduhan pertama, ke-4, ke-5 dan ke-9, pusat itu dilepas dan dibebaskan daripada pertuduhan terbabit selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie.

Semua perbuatan itu didakwa dilakukan di pusat pergigian itu yang terletak di Jalan Telawi, Bangsar Baru, Brickfields, antara 6 petang dan 9.05 malam, antara 26 Mei dan 2 Jun 2016.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 31(4), 39(2), 40(4) dan 117(2)(b)(i) Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta 1998 yang memperuntukkan hukuman denda antara RM30,000 dan RM300,000 dan di bawah Peraturan 49(7) dan 245(6) Peraturan-Peraturan Kedahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta (Hospital Swasta dan Kemudahan Jagaan Kesihatan Lain) 2006 yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM10,000 atau penjara 3 bulan atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Nadia Zulkefli memohon mahkamah mengenakan hukuman berat kerana kes ini melibatkan nyawa dan menjadi tumpuan masyarakat.

“Walaupun pertama kali dituduh tetapi klinik ini berhadapan dengan 5 pertuduhan. Ekoran sikap sambil lewa yang dilakukan klinik ini menyebabkan nama buruk kepada institusi klinik pergigian yang lain,” katanya.

Bagaimanapun, pusat pakar pergigian itu yang diwakili peguam P Sreekant merayu hukuman denda minimum atas alasan klinik tersebut banyak membuat penambahbaikan selepas kejadian itu.

Sepanjang perbicaraan bermula 6 Mac 2017, seramai 13 saksi pendakwaan dan 2 saksi pembelaan dipanggil memberi keterangan.

Syed Alman Zain, suami kepada Datuk Nurulhidayah, anak sulung Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, dilaporkan tidak sedarkan diri ketika menjalani rawatan di pusat pakar pergigian itu dan dirujuk ke Pusat Perubatan Universiti Malaya sebelum disahkan meninggal dunia.