
Hakim Nor Aziati Jaafar turut memerintahkan tertuduh, Ong Sheo Ming, 54, dipenjara tujuh bulan sekiranya gagal membayar denda berkenaan.
Mahkamah turut mengarahkannya menjalani pengawasan polis selama setahun, menurut Harian Metro.
Berdasarkan kertas pertuduhan, dia didakwa melakukan amang seksual bukan fizikal dengan cara menunjukkan kemaluannya kepada mangsa berusia 12 tahun itu bagi maksud seksual.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu di kawasan sebuah sekolah kebangsaan di Tampoi di sini, jam 1.30 tengah hari, 1 April lalu.
Dakwaan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 15(a)(i) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 15 akta yang sama.
Jika sabit kesalahan, dia boleh dihukum penjara maksimum 10 tahun atau didenda maksimum RM20,000 atau kedua-duanya.
Mengikut fakta kes, ketika kejadian mangsa bersama adik saudaranya sedang berjalan sebelum dipanggil suspek yang menaiki sebuah Honda Accord berwarna hitam.
Suspek kemudian bertanya lokasi tandas dan mangsa melihat seluar suspek dalam keadaan diturunkan.
Kejadian itu tular di media sosial sebelum bapa mangsa berusia 33 tahun membuat laporan polis.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nur Farah Wahida Shahudin manakala tertuduh tidak diwakili peguam.