
Hidangan ayam belanda atau nama saintifiknya “meleagris gallopavo” juga begitu ikonik apabila ia dihidangkan di meja hidangan.
FMT mendapatkan seorang penternak ayam belanda untuk mengetahui permintaan hidangan utama itu menjelang 25 Disember.

Mohd Saleh Maksud, 40, yang berasal daripada Pontian, Johor memulakan perniagaan menjual dan menternak ayam belanda sejak 2013 di Kampung Parit Haji Abdul Karim, Ayer Baloi.
Beliau mengakui menerima permintaan yang tinggi daripada pelanggan setiap kali menjelang perayaan Hari Natal.
Beliau berkata jualan yang boleh diperolehi hasil penjualan ayam belanda di kedainya, Pontian Turkey Farm mencecah RM20,000.
Saleh berkata seekor ayam belanda hidup kini dijual pada harga RM25 sekilogram manakala yang diproses pula RM35 sekilogram dan siap dimasak berharga RM350 seekor.
“Biasanya kita boleh jual ayam belanda pada Hari Krismas sebanyak 200 ekor dari pelbagai peringkat umur dan paling tinggi pelanggan kami di Kuala Lumpur.
“Jika ayam belanda tempatan, biasanya kami jual selepas 7 bulan usia ayam itu dan berat dia boleh cecah 6kg. Dan kami menjual sekilogram RM25,” katanya.
Ayam belanda diperkenalkan di Britain pada 1526. Sebelum ini, masyarakat di sana hanya menikmati hidangan utama seperti angsa, babi hutan dan burung merak.
King Edward VIII adalah raja pertama yang menikmati ayam belanda pada perayaan Krismas dan ia mula popular pada 1950. Sekarang di United Kingdom, kira-kira 10 juta ayam belanda dihidangkan pada perayaan Krismas.
Saiz ayam belanda besar sekitar 6.8 kg menjadinya sesuai dihidangkan untuk ahli keluarga yang ramai.
Mengulas lanjut, Saleh berkata ayam belanda juga mendapat permintaan tinggi pada musim perayaan Deepavali, sama ada daripada pelanggan tetap atau baru.
Katanya, kos menjaga ayam belanda juga berbaloi kerana hanya mengguna separuh daripada modal iaitu 50% daripada keuntungan.
“Kos yang dimaksudkan itu adalah seperti kos makan, api, air dan tenaga kerja. Kos makan itu dalam 30%,” katanya.
Perbezaan ayam belanda tempatan, import
Saleh yang mempunyai kelulusan daripada Universiti Malaya (UM) berkata terdapat perbezaan ayam belanda tempatan dengan ayam belanda import.
Beliau berkata ayam belanda tempatan lebih sedap kerana biasanya dijual dalam tempoh matang yang lama iaitu 7 bulan.
“Lagi satu konsep pemakanan sihat juga diterapkan dalam ayam belanda tempatan seperti makan bijirin, dedak selain rumput dan tumbuhan hijau.
“Jika ayam belanda import biasanya dijual ketika berusia hanya 2 bulan atau 2 bulan setengah. Ayam belanda import seperti ayam daging yang biasa mengambil masa 30 hari untuk dijual.
“Jika ayam belanda tempatan yang berusia 7 bulan boleh mendapat berat daripada 18 hingga 20 kg. Ayam belanda import yang dijual di Pasar raya berusia 2 bulan,” katanya.
Perniagaan makin berkembang
Saleh berkata idea penjualan ayam belanda diperoleh daripada kawannya yang sebelum ini hanya membela dan menjual tetapi tidak konsisten.
Katanya, beliau hanya memulakan menternak ayam belanda daripada 20 ekor dan kini mempunyai 400 ekor ayam belanda.
Beliau akui kadang-kadang permintaan ayam belanda memang tinggi dan sehingga terpaksa mencari ayam belanda daripada kawannya untuk cukupkan bekalan jualan.
“Kini semakin ramai yang menceburi bidang ini tetapi tidak ramai yang konsisten. Beliau harap perniagaannya ini semakin maju,” katanya.