
Keputusan itu dibuat sejajar dengan prinsip yang dipegang kerajaan negeri Sabah baru pimpinan Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal yang mengutamakan hak Sabah seperti terkandung dalam Perjanjian Malaysia 1963 sentiasa terjamin, termasuk dalam soal penguatkuasaan larangan merokok di premis makanan.
Peraturan larangan merokok itu dikuatkuasakan bermula 1 Jan lepas di seluruh negara, tetapi hanya Sabah dan Sarawak masih menangguhkan pelaksanaannya sementara menunggu keputusan mesyuarat Kabinet negeri masing-masing.
Biarpun sependapat dengan kerajaan persekutuan dalam undang-undang anti-merokok, namun dari segi penguatkuasaan Sabah mempunyai ordinan kerajaan tempatan sendiri.
Menteri bertanggungjawab berkaitan Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah Datuk Stephen Wong berkata, beberapa perkara perlu dilakukan, termasuk berkaitan ordinan kerajaan tempatan untuk disahkan dalam mesyuarat Kabinet negeri pada minggu depan sebelum keputusan pelaksanaan dibuat.
Wong mengakui larangan itu baik untuk orang ramai tetapi pelaksanaannya di Sabah memerlukan beberapa pelarasan berkaitan ordinan kerajaan tempatan sedia ada.
Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah Datuk Christina Liew berkata, perkara ini perlu diteliti secara mendalam kerana ia melibatkan kedatangan pelancong.
Katanya tidak semestinya peraturan di Semenanjung itu diikuti di Sabah memandangkan Sarawak juga belum menguatkuasakannya.
Liew menyatakan kebimbangannya itu berasaskan industri pelancongan menjadi penjana penting kepada sumber ekonomi negeri ini.
Presiden Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan dan Pengembaraan (MATTA), Datuk Tan Kok Liang mahu pihak berkaitan di Sabah berhati-hati dalam membuat keputusan melaksanakan larangan merokok di negeri ini agar tidak menjejaskan industri pelancongan.
Seramai 3.5 juta pelancong tempatan dan antarabangsa datang ke Sabah dalam tempoh 10 bulan pertama tahun lepas.
Dalam menangguhkan larangan merokok itu sebelum keputusan dibuat pada mesyuarat Kabinet negeri pada minggu depan, beberapa pihak, termasuk pertubuhan menyatakan pendirian agar Sabah turut sama menguatkuasakan larangan itu.
Presiden Majlis Belia Sabah (MBS) Ahmad Farid Sainuri mahu larangan merokok itu dilaksanakan di Sabah disebabkan ia bukan hanya menyediakan persekitaran yang sihat kepada anak kecil, warga emas dan pesakit yang menghidap masalah pernafasan, tetapi juga mampu menjadikan Sabah sebagai destinasi pelancongan setanding dengan negara maju.
Bagi Persatuan Kedai Kopi Pantai Barat Sabah, mereka menyokong larangan merokok disebabkan kebanyakan pelanggan mereka kalangan bukan perokok.
Pengerusinya Yong Chee Yun berkata, sebagai tanda sokongan, pengusaha kedai kopi kalangan anggota persatuan itu sudah meletakkan papan tanda “Dilarang Merokok” di premis mereka.
Namun katanya, ada pelanggan tetap dalam kalangan perokok tidak datang ke premis mereka sejak 1 Januari lepas dan ada yang datang akan merokok di luar premis atau sejauh 3 meter dari kawasan premis sejajar dengan arahan Kementerian Kesihatan.
Pada Oktober lepas, Kementerian Kesihatan mengumumkan penguatkuasaan peraturan larangan merokok di semua restoran, kopitiam dan pusat penjaja, malah tempat makan di ruang terbuka di seluruh negara, berkuat kuasa 1 Januari 2019.
Mereka yang didapati merokok di kawasan larangan akan didenda sehingga RM10,000 atau berdepan hukuman penjara 2 tahun manakala premis makan yang didapati membenarkan pelanggan mereka merokok akan dikenakan hukuman denda maksimum RM2,500.