Malaysia perlu 145 tahun capai 50% ahli Parlimen wanita, kata aktivis

Malaysia perlu 145 tahun capai 50% ahli Parlimen wanita, kata aktivis

Tan Beng Hui kecewa wakil rakyat wanita hanya diberikan portfolio berkaitan wanita atau kebajikan, bukannya tanggungjawab berat.

Tan Beng Hui mencadangkan kerajaan PH menggubal undang-undang untuk mewajibkan sekurang-kurangnya 30% penglibatan wanita dalam pelbagai aspek, termasuk politik.
PETALING JAYA:
Seorang aktivis wanita menganggarkan Malaysia memerlukan 145 tahun lagi untuk mencapai 50% penglibatan wanita di Parlimen.

Tan Beng Hui berkata, ramalan itu dibuat berdasarkan penelitiannya ke atas pola statistik perwakilan wanita di Parlimen negara ini lebih 40 tahun lalu.

Katanya, hanya 4.5% wanita terlibat di peringkat Parlimen pada 1978 dan jumlah itu meningkat kepada 14.4% tahun lalu.

“Apabila wanita memenangi kerusi DUN (Dewan Undangan Negeri) atau Parlimen, mereka hanya diberi portfolio berkaitan wanita atau kebajikan, bukannya menggalas tanggungjawab berat.

“Soalnya, adakah benar wanita tidak berkaliber? Kenapa negeri-negeri di Malaysia tidak lantik menteri besar daripada kalangan wanita,” soalnya dalam Seminar Nasional Wanita dan Politik: Ke Mana Hala Tuju Politik Negara” di sini, hari ini.

Pakar dalam bidang gender dan pembangunan itu berkata, Warisan ialah parti yang menurunkan paling ramai calon wanita bagi kerusi Parlimen dalam pilihan raya umum ke-14 (PRU14) lalu, iaitu 28 orang.

“Barisan Nasional (BN) meletakkan 26 calon wanita, PAS letak 10 (wanita). Parti Bersatu Sabah (PBS) meletakkan 5 calon, 2 daripada mereka wanita.

“Parti yang kurang ‘hebat’ adalah Amanah, seorang calon wanita daripada 34 calon. PPBM pula meletakkan 3 calon wanita daripada 53 calon,” katanya.

Tan berkata, Selangor gagal mencapai sasaran 30% pembabitan wanita dalam kerajaan negeri kerana hanya 3 pemimpin wanita dilantik sebagai exco selepas PRU14, tidak setanding 2 penggal lalu, iaitu 2008 hingga 2013.

“Namun, masih ada negeri yang lebih rendah peratusannya. Kedah melantik 2 wanita daripada 11 exco kerajaan negeri, manakala negeri-negeri lain pula hanya melantik seorang (exco) wanita. Di Terengganu, seorang wanita pun tidak dilantik sebagai exco.”

Beliau berkata, BN atau Pakatan Harapan (PH) tidak meletakkan calon wanita bagi kerusi Parlimen di Perlis, Terengganu dan Negeri Sembilan pada PRU14.

Sementara itu, Tan mencadangkan kerajaan PH menggubal undang-undang yang mewajibkan sekurang-kurangnya 30% suara wanita dalam pelbagai aspek, termasuk politik, jika Putrajaya serius dalam perkara itu.

Katanya, ia adalah cara paling cepat merealisasikan perwakilan wanita dalam sektor awam dan swasta, memandangkan dasar ketika ini berubah mengikut kesesuaian.

“Kita dapat lihat dalam bidang politik, tidak ada yang membantu wanita untuk masuk ke arena politik, terdapat banyak halangan. Tidak ada undang-undang setakat ini.

“Yang ada hanyalah polisi, kita perlukan undang-undang, di mana menjadi satu kesalahan untuk tidak membenarkan wanita mempunyai sistem kuota dalam parti politik.

“Ia adalah cara paling mudah dan paling cepat untuk melibatkan wanita dalam politik, tetapi ia tidak mudah dilakukan kerana boleh dipolitikkan.”

Beliau tidak menafikan kerajaan PH sudah melakukan perubahan dengan melantik wanita sebagai timbalan perdana menteri dan speaker, tetapi ia masih tidak mencapai sasaran 30%.

Beliau menasihatkan PH tidak mengikut jejak BN yang gagal memenuhi desakan Wanita Umno untuk memenuhi 30% kuota calon pilihan raya.

“Mengambil contoh, jika saya pemimpin dalam Wanita Umno yang sebelum ini melakukan semua kerja untuk meraih undi, tetapi tidak diberi kuota sebanyak 30%, maka saya akan mogok.

“Saya akan tegaskan jika mahu pertolongan Wanita Umno dalam pilihan raya, sila pastikan beri kami 30% kuota penglibatan wanita sebagai calon bertanding.”

Ahad lalu, Ketua Wanita PKR, Haniza Mohd Talha dilaporkan berkata, beliau akan mengusulkan kerajaan melantik wanita ke Parlimen tanpa melalui pilihan raya dalam usaha mencapai sasaran 30% perwakilan wanita di Dewan Rakyat.

Beliau berkata, pihaknya sedang mengatur pertemuan dengan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad serta Timbalannya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail bagi tujuan itu.

Katanya, Jerman dan negara Afrika sudah mengamalkan kaedah “non-constituency seat” dengan melantik wanita ke Parlimen tanpa melalui pilihan raya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.