Zuraida nafi tuduh Anwar pemimpin yang lemahkan demokrasi

PETALING JAYA: Zuraida Kamaruddin nafi pemimpin parti yang didakwanya melemahkan demokrasi dalam artikel yang disiarkan Utusan Malaysia merujuk kepada Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Naib presiden PKR itu berkata, artikel disiarkan pada 14 Januari tersebut merupakan pandangan peribadinya dan visinya sebagai pemimpin politik tanah air.

“Artikel itu visi politik saya pada masa depan dan bukannya menuding atau merujuk kepada mana-mana parti tertentu,” katanya selepas merasmikan Seminar Nasional Wanita dan Politik: Ke Mana Hala Tuju Politik Negara hari ini.

Zuraida berkata, tafsiran sesetengah pihak bahawa artikel berkenaan kritikan terhadap Anwar adalah tidak benar dan andaian semata-mata.

Dalam artikel itu, Zuraida, yang juga menteri perumahan dan kerajaan tempatan, menyifatkan mereka yang tidak bertanding dalam pemilihan parti tetapi menerima pelantikan sebagai “pengkhianat sebenar” dan “pengecut”.

Zuraida dilihat berada dalam kem penyokong Timbalan Presiden PKR Datuk Seri Mohamed Azmin Ali ketika pemilihan parti yang berakhir hujung tahun lalu.

Azmin dan bekas ahli Parlimen Pandan Rafizi Ramli, yang dilihat sebagai orang setia Anwar, terlibat dalam pertandingan sengit untuk jawatan timbalan presiden. Azmin mengekalkan jawatannya setelah menang tipis di beberapa negeri.

Pada 29 Disember Azmin mempersoalkan pemilihan beberapa individu mengisi jawatan dalam parti. Mereka termasuk Rafizi, yang dilantik sebagai naib presiden dan Datuk Saifuddin Nasution Ismail sebagai setiausaha agung.

Zuraida turut mempersoalkan pemimpin-pemimpin parti dan lain-lain yang beliau dakwa melemahkan demokrasi dengan meletakkan orang-orang mereka sendiri di peringkat atas.

“Dalam parti-parti paling kukuh di Malaysia, kerosakan awal sedang berlaku di akar umbi. Terdapat mereka dalam kepimpinan parti yang mahu menafikan suara akar umbi.

“Sebagai contoh, ada parti yang melantik mereka yang kalah dalam pimilihan parti dengan meletak mereka di jawatan yang sama dengan yang menang. Ini adalah pengkhianatan secara terang-terangan terhadap hasrat akar umbi,” katanya.

Baju kalis api

Zuraida juga mengulas mengenai siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ke atas bekalan baju kalis api “tidak selamat” kepada pasukan bomba di seluruh negara.

Media melaporkan baju kalis api itu dibuat daripada bahan mudah terbakar, polyester.

Zuraida berkata ia berlaku sejak 2 tahun lalu sebelum beliau menjadi menteri, dan menjelaskan tender baru bagi mendapatkan semula 6,000 baju kalis api akan dibuka bulan depan.

“Kita kekurangan 6,000 baju selepas itu memandangkan ia dalam siasatan SPRM. Jabatan bomba akan keluarkan tender untuk dapatkan baju baru kalis api ini pada Februari.

“Proses tender, kalau dilakukan pada Februari selalunya akan mengambil masa dalam 3 bulan,” katanya yang menyifatkan perkara berkenaan bukanlah serius dan masih boleh dikawal.

Harian Metro dalam laporannya menyatakan SPRM merampas kira-kira 6,000 baju kalis api bermasalah pada 2017.

Pakaian itu dibekalkan pada 2016 dan bernilai antara RM2,400 dan RM2,500 seunit. Berikutan rampasan berkenaan, tempahan terhadap bekalan seterusnya juga dibatalkan.