Majikan di Cameron Highlands terus bergantung pada pekerja asing

Terdapat antara 5,000 ke 7,000 pekerja asing berdaftar yang bekerja dalam sektor perladangan, pembinaan dan perkhidmatan di Cameron Highlands.

CAMERON HIGHLANDS: Kebergantungan majikan pada pekerja asing di Cameron Highlands masih tinggi kerana penduduk tempatan termasuk Orang Asli tidak berminat untuk bekerja di kawasan peraginan itu, khususnya dalam sektor perladangan, pembinaan dan perkhidmatan.

Bagaimanapun seorang ahli perniagaan, Datuk P Kanatazan berkata, rata-rata majikan masih menghadapi kesukaran mendapatkan pekerja asing kerana peraturan yang terlalu ketat dikenakan oleh pihak kerajaan.

P Kanatazan berkata, rata-rata penduduk tempatan mahukan pekerjaan yang ada ‘kelas’.

“Dari segi mendapatkan pekerja asing, kita mempunyai masalah sebab setiap permohonan mengambil masa yang terlalu lama dan banyak proses yang perlu dilakukan. Ini menyukarkan kita dapat pekerja asing,

“Jika kerajaan tidak membantu atau memudahkan pengusaha kebun, hotel atau lain-lain untuk mendapatkan pekerja asing, pengusaha terpaksa mencari atau menerima pendatang tanpa izin (Pati) yang hendak bekerja,” katanya ketika ditemui FMT.

Rakyat tempatan memilih kerja, mahu kerja mudah

Kanathazan berkata, majikan terpaksa mendapatkan pekerja asing kerana rakyat tempatan terlalu memilih pekerjaan.

“Semua orang tahu, orang tempatan kalau dipanggil datang kerja banyak alasan, nak kerja yang ada ‘kelas’.

“Kerja cuci mangkuk siapa nak buat? Suruh orang tempatan buat memang tidak mahu. Jadi pelayan memang susah dan mereka tidak mahu. Nak buat kerja kebun, memang tak boleh. Nak bekerja di ladang teh, tak boleh. Mana ada orang Malaysia nak buat kerja di ladang teh. Mereka nakkan kerja yang mudah.

“Maaf cakap, anak-anak kita ini terlalu dimanjakan, susah sikit tak mahu,” katanya, tetapi tidak menafikan memang terdapat pekerja tempatan yang bagus dan berkualiti.

Katanya, bayaran gaji yang ditawarkan adalah mengikut kategori kerja, sesuai dengan tahap kemahiran yang diperlukan.

“Gaji pekerja di ladang teh misalnya adalah dari RM1,300 hingga RM1,500. Dalam sektor perkhidmatan, termasuk kedai makan, gaji sekitar RM1,500 dan sektor pembinaan dalam lingkungan RM1,500 hingga RM1,800. Itu gaji yang kita beri kepada mereka (pekerja asing).

Kanathazan mengakui tanpa pekerja asing, industri pelancongan dan perladangan di Cameron Highlands tidak akan maju.

“Kalau tidak ada pekerja asing, tempat ini tidak boleh maju. Memang industri pelancongan kita kuat, industri sayur kuat, pengeluaran bunga kita top, tetapi kalau tiada pekerja asing memang kita tidak boleh usahakan semua ini,” katanya.

Katanya, anggaran jumlah pekerja asing yang berdaftar di Cameron Highlands adalah dari 5,000 hingga 7,000 orang terdiri daripada warga Indonesia, Bangladesh dan Nepal.

Orang Asli tempatan tidak mahu kerja ‘kotor’

Sementara itu, seorang pengusaha ladang yang enggan dikenali berkata, penduduk Orang Asli tempatan juga memilih kerja dan kurang berminat dengan kerja yang ‘kotor’ dan susah.

“Ada dalam kalangan penduduk Orang Asli di sini tidak mahu buat kerja kotor. Mereka mahu kerja senang, seperti dalam bidang perhotelan.

“Mereka juga lebih berminat bekerja sebagai pemandu lori. Semua jenis kerja ‘kotor’ mereka tak nak buat. Tapi tidak semualah yang memilih, memang ada yang bagus,” katanya.

Dalam pada itu, seorang petani di Bertam Valley yang mahu dikenali sebagai Wong berkata, adalah tidak adil menuduh Orang Asli tempatan terlalu memilih pekerjaan.

“Mereka berhak untuk mencari kerja yang lebih selesa dan baik kerana mereka adalah penduduk asal di Cameron Highlands dan banyak tanah di sini adalah milik mereka,” kata Wong.

Wong berkata, beliau mempunyai pengalaman menggaji pekerja Orang Asli dengan tujuan melatih mereka berdikari untuk mengusahakan aktiviti pertanian sendiri.

Selain itu katanya, majikan perlu menghormati dan cuba memahami budaya Orang Asli yang tidak terlalu mengutamakan pekerjaan tetap, dan tidak mudah berputus asa, selain terus melatih mereka secara berperingkat.