PRK Semenyih: PAS tak letak calon, beri laluan pada BN

PRK Semenyih: PAS tak letak calon, beri laluan pada BN

PAS memberi laluan kepada BN kerana parti itu memperoleh undi yang lebih besar pada PRU14.

Takiyuddin Hassan berkata PAS akan memberi laluan kepada BN untuk bertanding di PRK DUN Semenyih.
PETALING JAYA:
PAS hari ini mengumumkan parti itu tidak meletakkan calon pada pilihan raya kecil (PRK) DUN Semenyih.

Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, parti Islam itu akan memberi laluan kepada wakil pembangkang iaitu Barisan Nasional (BN) yang memperoleh sokongan undi yang lebih besar pada PRU14.

“PAS mengharapkan PRK ini menghasilkan keputusan yang akan menguatkan wakil pembangkang, terutama dalam DUN Selangor.

“Dengan itu, proses semak dan imbang yang dimainkan oleh pembangkang yang konstruktif akan memberikan kebaikan kepada rakyat Selangor khususnya,” katanya menerusi satu kenyataan.

Takiyuddin berkata, PAS akan menggerakkan jentera pilihan raya setempat untuk membantu pembangkang bagi menghadapi PRK tersebut.

“PAS juga akan menyeru dan mengarahkan ahli-ahlinya di kawasan ini supaya turun membuang undi sebagaimana pendirian parti bagi memberi sokongan kepada calon yang mewakili pembangkang nanti,” katanya.

PRK DUN Semenyih bakal diadakan selepas kematian penyandang, Bakhtiar Mohd Nor, 57, daripada PPBM. Beliau meninggal dunia di Hospital Kajang Jumaat lalu akibat serangan jantung.

Pada PRU14, Bakhtiar menewaskan penyandangnya, Datuk Johan Abdul Aziz, Mad Shahmiour Mad Kosim (PAS) dan S Arutchelvan (PSM).

Bakhtiar menang dengan majoriti 23,428 undi, menewaskan Johan daripada Umno yang menjadi Adun di kerusi itu selama 2 penggal.

Selasa lalu, PSM menyatakan parti itu mungkin akan bertanding pada PRK Semenyih.

 

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.