
Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata kerajaan sepatutnya meneruskan perbincangan 2 hala untuk menyelesaikan segala masalah berbangkit walaupun dengan parti lawan.
“Kita mempunyai etika tersendiri antara kerajaan persekutuan dan negeri. Etika itu kita kena ikut dan segala masalah melibatkan kerajaan negeri dibincangkan walaupun mereka kerajaan parti lawan sekalipun.
“Masalah biasanya tidak membawa ke mahkamah sebab ia membuka ruang kepada saman-menyaman. Makna bila ada masalah, kerajaan negeri juga boleh saman kerajaan persekutuan, kerana Putrajaya tidak terlepas dari kesilapan,” katanya kepada pemberita selepas berkempen di Brinchang hari ini.
Putrajaya kelmarin memfailkan saman terhadap kerajaan Kelantan yang ditadbir oleh PAS kerana menceroboh penempatan-penempatan Orang Asli. Ia juga memohon injunksi menghalang syarikat-syarikat swasta menceroboh tanah adat untuk menjalankan aktiviti komersial.
Saman yang difailkan di Mahkamah Tinggi Kota Bharu menamakan kerajaan negeri, pengarah tanah dan galian negeri, pengarah perhutanan negeri dan 5 entiti swasta.
Ismail berkata tindakan saman itu mungkin boleh mempengaruhi sokongan Orang Asli di Cameron Highlands, yang akan mengundi 26 Januari ini.
“Saman boleh menarik sokongan Orang Asli di Cameron Highlands, sedangkan banyak projek pembangunan yang dilakukan kerajaan BN untuk membangunkan Orang Asli,” katanya.
Beliau menambah Pakatan Harapan cuba menunjukkan ia ingin membantu Orang Asli tetapi banyak projek kerajaan lepas dibatalkan.
“RM15 juta diluluskan oleh kerajaan persekutuan dulu untuk Jalan Pos Lejang tapi dibatalkan oleh kerajaan hari ini. Saya difahamkan tidak ada peruntukan prasarana untuk perkampungan Orang Asli,” katanya.
Beliau mendakwa projek pusat sehenti di Gua Musang dan Cameron Highlands juga telah dibatalkan.
BN gembira Dr M turun
Sementara itu di Kampung Suil Ruil, Ahli Parlimen Rembau Khairy Jamaluddin berkata Barisan Nasional gembira Tun Dr Mahathir Mohamad akan turun berkempen di Cameron Highlands.
Beliau berkata seorang perdana menteri jarang turun padang untuk pilihan raya kecil maka kehadiran Dr Mahathir menunjukkan Pakatan Harapan “cemas”. Pengerusi Pakatan Harapan itu dijangka menghadiri ceramah perdana di Felda Sungai Koyan pada Jumaat.
“Kita tak gentar cuma luar biasa. Mungkin PH ambil serius pendekatan BN setakat ini,” katanya.
Ditanya mengenai kerjasama dengan PAS di Cameron Highlands, Khairy berkata ia sebahagian daripada taktik pembangkang berdepan kekuatan PH. Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang dijangka berkongsi pentas dengan Timbalan Presiden Umno Datuk Seri Mohamad Hasan di Felda Sungai Koyan malam ini.
“Setakat ini tiada masalah. Dua-dua parti dapat zahirkan kerjasama taktikal untuk pilihan raya kecil, bukan gabungan,” katanya.