
Menteri Besar Datuk Ahmad Yakob berkata buat masa ini pihaknya sedang menunggu dokumen rasmi berkaitan saman itu daripada pejabat peguam negara.
“Ini kali pertama berlaku. Sekarang ini secara rasmi kita belum terima dokumen rasmi mengenai saman itu dan kita hanya tahu perkara ini melalui media sahaja,” katanya selepas mengadakan pertemuan dengan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin di JKR 10 hari ini.
Dua hari lepas Jabatan Peguam Negara memfailkan tindakan undang-undang di Mahkamah Tinggi Kota Bharu bagi masyarakat Orang Asli Temiar terhadap kerajaan Kelantan.
Kes saman yang difailkan terhadap kerajaan negeri dan 7 lagi itu untuk mendapatkan pengiktirafan hak tanah adat Orang Asli Temiar di Pos Simpor berhampiran Gua Musang. Sebutan kes pada 22 Januari.
Ahmad berkata pihaknya akan berbincang mengenai isu itu pada mesyuarat exco akan datang.
Beliau berkata kerajaan negeri sebenarnya banyak membantu nasib Orang Asli berkenaan mengenai kawasan rayau, penempatan dan pertanian.
“Ini yang kita nak tengok apa isunya,” katanya.