Bekas Adun DAP didakwa buat tuntutan palsu lebih RM38,000

Bekas Adun DAP didakwa buat tuntutan palsu lebih RM38,000

Loh didakwa membuat dokumen palsu memohon peruntukan belanjawan untuk sambutan hari guru dan pesta tanglung yang tidak diadakan pada 2015.

Loh Chee Heng dibenarkan ikat jamin sebanyak RM40,000 dengan seorang penjamin. (Gambar Bernama)
SHAH ALAM:
Bekas Adun DAP hari ini berdepan pertuduhan kerana didakwa membuat tuntutan palsu melibatkan wang berjumlah lebih RM38,000.

Dua pertuduhan dibacakan kepada Adun Teluk Datuk, Loh Chee Heng oleh Pendakwa Raya, Muhammad Suffian Jaafar mewakili Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM).

Pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mahkamah Seksyen, Mohd Sabri Somali.

Dalam bacaan pertama, Loh didakwa membuat 1 dokumen palsu memohon peruntukan belanjawan untuk satu majlis sambutan hari guru yang tidak diadakan.

Dokumen palsu itu dikatakan memperuntukkan wang sejumlah RM13,380 seperti yang tertera dalam kertas kerja Program Sambutan Hari Guru DUN Teluk Datuk, pada 8 Jun 2015 lalu.

Beliau didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 18, Akta 694 SPRM 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24, akta yang sama.

Loh yang kelihatan hadir diwakili peguam, Peppy Wong.

Pada bacaan ke-2, pendakwa raya menyebutkan, Loh membuat 1 lagi tuntutan palsu berjumlah RM20,000 dalam kertas projek Program Pesta Tang Lung Tahun 2015 DUN Teluk Datuk.

Pertuduhan itu didakwa berlaku pada 23 September 2015 di Pejabat Daerah Kuala Langat.

Bagaimanapun, pesta tang lung tersebut tidak dilaksanakan menyebabkan Loh dituduh melakukan kesalahan di bawah Seksyen 18, Akta 694 SPRM 2009.

Jika disabitkan dengan kedua-dua kesalahan, tertuduh berdepan penjara 2 tahun dan didenda tidak kurang daripada 5 kali ganda jumlah tuntutan, atau RM10,000 atau mana-mana yang lebih tinggi.

Bagaimanapun, beliau dibenarkan ikat jamin sebanyak RM40,000 dengan seorang penjamin.

Hakim menangguhkan sesi perbicaraan sehingga 25 Februari depan.

Terdahulu, Loh pernah dilaporkan disingkirkan dari DAP kerana terlibat dalam kes penyelewengan dana kerajaan negeri pada 2016.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.