“Batu granit keras dan hidup berbeza dengan batu kapur yang lembut”. Ini adalah kata-kata seorang pengukir batu nisan berketurunan Cina yang penulis temui baru-baru ini di sebuah pekan lama Kuala Selangor.

Penulis bukan sahaja hairan dengan kata-kata pengukir nisan berusia 63 tahun itu tetapi hakikat batu nisan itu adalah untuk pelanggannya orang Melayu dan tulisannya yang diukir di atas batu nisan itu adalah tulisan jawi.
“Saya belajar tulisan jawi ini daripada pelanggan-pelanggan saya, “ kata Kuah Leong Chuan kepada Bernama dalam wawancara baru-baru ini.
Leong Chuan sebenarnya berasal daripada keluarga pengukir dan beliau adalah generasi kelima meneruskan warisan keluarga.
Moyangnya berasal dari China dan berhijrah ke negara ini lewat tahun 1800 untuk berniaga. Di samping itu moyangnya juga menggunakan kemahiran untuk mengukir dan pada permulaannya lebih kepada mengukir patung buddha atau tempat sembahyang penganut Buddha.
Belajar dari bapa

Bengkel membuat nisan Leong Chuan ini hanyalah di bawah sebatang pokok di tepi kawasan belukar bertentangan pekan lama Kuala Selangor (berhampiran Bukit Melawati). Rumah Leong Chuan tidak jauh daripada bengkel dan setiap hari beliau berbasikal ke bengkelnya. Beliau akan berada di bengkelnya dari pukul 8 pagi hingga 6 petang.
Paling menyenangkan kerja Leong Chuan ialah beliau dengan mudah boleh mendapatkan bekalan batu granit untuk membuat batu nisan dari kawasan belukar sekeliling bengkelnya.
Satu perkara yang unik tentang teknik mengukir Leong Chuan ialah beliau mengukir batu nisan dengan menggunakan tangan berbanding dengan ramai pengukir batu nisan lain yang menggunakan mesin.
Beliau juga mungkin satu-satunya pengukir batu nisan menggunakan batu granit dengan tangan.
Proses buat batu nisan

“Ada caranya potong batu serupa kalau orang mahu buka buah durian, “ jawab beliau ketika ditanya proses untuk membuat batu nisan.
Menurut Leong Chuan, batu granit tersebut dipotong dengan pahat yang bermatakan berlian tetapi “bukanlah berlian yang dibuat barang kemas. Pahat itu khas untuk memotong batu yang sangat keras.”
Selepas itu, batu akan dibelah dan diukur mengikut kehendak pelanggan. Siap diukir dan digosok (mengikut permintaan pelanggan), berikutnya adalah proses mengukir dan memahat maklumat yang hendak dipaparkan di atas batu nisah menggunakan tulisan jawi.
Leong Chuan sememangnya mementingkan hasil kerja yang teliti dan sebab itulah beliau lebih selesa menggunakan tangan berbanding mesin.
Tempoh proses membuat batu nisan ini adalah mengikut saiz atau kehendak pelanggan. Batu nisan kecil bersaiz 2 kaki mengambil masa 3 hari dan kalau yang besar mengambil masa 3 minggu. Harga pula mengikut saiz bermula dari RM 150 sepasang sehingga RM 700.
Pelanggannya datang dari seluruh Malaysia dan ada juga pekerja Indonesia yang bekerja di Malaysia mendapatkan batu nisan granit daripada beliau.
Proses mengukir dan menulis nama atau informasi simati pada batu nisan mengambil masa satu jam. Antara maklumat yang diukir di atas batu nisan ialah perkataan Al-Fatihah serta maklumat si mati iaitu nama, tarikh lahir dan tarikh meninggal.
Ambil berat

Beliau bimbang keluarga si mati terlangkah atau duduk di batu nisan yang ada tulisan ayat Al-Quran. Ada juga yang mahu beliau mengukir perkataan “Bismillah” tetapi Leong Chuan berkeras untuk tidak mengukirnya kerana takut akan disalahkan suatu hari nanti.
“Batu nisan ini hanyalah satu tanda sahaja bukan untuk bikin rumah cantik yang mewah. “ Itulah kata-kata yang sering digunakan sekiranya ada pelanggan yang mahu beliau mengukir perkataan Bismillah.
Salah satu keistimewaan batu granit ini ia “boleh membesar”. Leong Chuan hanya perlu melicinkan bahagian atas nisan sahaja itupun atas permintaan pelanggaan.
Bahagian yang kasar ini akan memegang tanah dan akan kukuh buat masa yang lama, berbeza batu nisan yang diperbuat dari batu kapur yang licin dan senang tercabut dari tanah.
“Tinggal saya satu orang sahaja, budak muda sekarang tak minat, mereka minat duduk di kedai ada penyaman udara dan ada televisyen. Tengok program hiburan,” katanya bila ditanya sama ada beliau mempunyai sesiapa untuk mewarisi perusahaan batu nisan beliau.
Leong Chuan mungkin merupakan pengukir batu nisan granit yang menggunakan tangan terakhir di Malaysia. Demi itu beliau sudi untuk menerima sesiapa sahaja untuk mempelajari seni ukir ini supaya tidak hilang ditelan zaman.