Mahkamah tegur Isa Samad lewat mohon dapatkan pasport

Mahkamah tegur Isa Samad lewat mohon dapatkan pasport

Isa Samad merancang menunaikan umrah dari 10 hingga 21 Feb ini.

Isa Samad berdepan 1 pertuduhan pecah amanah dan 9 pertuduhan rasuah berjumlah lebih RM3 juta.
KUALA LUMPUR:
Bekas Pengerusi Felda, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad hari ini mengemukakan permohonan bagi mendapatkan semula pasportnya untuk menunaikan umrah semasa sebutan semula kes pecah amanah dan rasuah yang dihadapinya didengar di Mahkamah Sesyen.

Isa, 70, yang merancang menunaikan umrah dari 10 hingga 21 Feb ini, mengemukakan permohonan itu melalui peguamnya, Ridha Abdah Subri kepada Hakim Azura Abas.

Bagaimanapun, Azura menegur tindakan Isa yang lewat mengemukakan permohonan kerana akan mengganggu kelancaran prosiding mahkamah untuk kes-kes yang lain.

“Saya tak nak halang untuk dapatkan pasport, apa lagi untuk buat ibadat…tapi kenalah rancang awal-awal. Ia tidak adil untuk semua bersetuju untuk menetapkan tarikh kerana ia tidak sesuai untuk mahkamah,” katanya sambil menegaskan permohonan perlu dibuat sekurang-kurangnya 1 bulan setengah lebih awal.

Terdahulu, Ridha Abdah memaklumkan pihaknya mengemukakan permohonan untuk mendapatkan semula pasport itu secara dalam talian semalam, bagaimanapun terdapat sedikit masalah teknikal dan turut memohon maaf atas kelewatan menfailkan permohonan tersebut.

Mahkamah menetapkan 31 Jan ini bagi mendengar permohonan mendapatkan semula pasport dan 26 Feb ditetapkan untuk sebutan semula kes pecah amanah dan rasuah dan serahan dokumen.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Allan Suman Pillai.

Pada 14 Dis 2018, Isa mengaku tidak bersalah atas 1 pertuduhan pecah amanah dan 9 pertuduhan menerima rasuah berjumlah lebih RM3 juta bagi meluluskan pembelian sebuah hotel di Kuching, Sarawak, oleh Syarikat Felda Investment Corporation (FIC) Sdn Bhd.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.