Bekas anggota SPR tak boleh lari dari undang-undang, kata peguam negara

Bekas anggota SPR tak boleh lari dari undang-undang, kata peguam negara

Tommy Thomas berkata tribunal diberi mandat untuk menyiasat perbuatan bekas anggota ketika mereka memegang jawatan.

Tommy Thomas.
PETALING JAYA:
Peguam Negara Tommy Thomas berkata perbuatan anggota SPR semasa berkhidmat, walaupun sudah meletakkan jawatan, tidak kebal daripada siasatan tribunal khas, yang ditubuhkan untuk menyiasat tindakan mereka semasa pilihan raya umum ke-14.

Thomas berkata tribunal ditubuhkan menerusi Perkara 114(3), 125(3) dan (4) Perlembagaan Persekutuan dengan mandat untuk menyiasat tindakan anggota-anggota berkenaan dalam satu tempoh yang relevan, iaitu sebelum dan pada hari mengundi.

“Anggota-anggota ini masih memegang jawatan dalam SPR pada masa tersebut, dan tindakan mereka pada masa itulah yang disiasat,” kata Thomas dalam kenyataan hari ini.

Berdasarkan mandat itu, Thomas berkata tribunal perlu menyiasat perbuatan anggota-anggota berkenaan seperti yang dinyatakan dalam “13 pertuduhan” terhadap mereka, bagi menentukan fakta berkenaan isu salah laku.

“Pertuduhan-pertuduhan ini amat serius, dan sekiranya dibuktikan, akan menunjukkan kesalahan diri anggota-anggota SPR dalam cara pengelolaan PRU-14,” katanya.

Demikian itu, katanya, tribunal bebas untuk membuat keputusan berkenaan isu-isu awalan, seperti yang diinginkan, dan seterusnya mengesyorkan tindakan-tindakan yang wajar kepada Agong, termasuk pemecatan atau alternatif lain yang tidak ekstrem.

Sementra itu, Thomas mengingatkan peletakan jawatan anggota berkenaan boleh dilihat sebagai langkah untuk sengaja menggagalkan siasatan atau untuk mengelakkan keaiban akibat pemecatan dan kesan-kesan lain.

“Peletakan jawatan anggota-anggota SPR tersebut dibuat sebaik sahaja terdapat laporan bahawa Kerajaan telah memulakan proses untuk menubuhkan Tribunal, namun tarikh berkuat kuasa dilewatkan secara sepihak kepada 1 Januari 2019,” katanya.

Media melaporkan peguam mewakili 4 bekas anggota SPR, Mohd Khairul Azam Abdul Aziz menggelar prosiding tribunal semalam “memalukan” kerana anak-anak guamnya disiasat ketika mereka sudah meletakkan jawatan.

Khairul Azam menegaskan tribunal itu hanya mempunyai kuasa untuk menyiasat salah laku dan jika sabit kesalahan, menyingkir anggota-anggota berkenaan.

“Namun, kuasa terbabit sudah hilang kuasa kerana 6 ahli SPR yang dipertikaikan telah meletakkan jawatan berkuatkuasa 1 Januari lalu, 27 hari sebelum tribunal bermula,” katanya menurut laporan Utusan Malaysia semalam.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.