
Suruhajaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) dan Suara Rakyat Malaysia (Suaram) pada sidang media bersama hari ini berkata kanak-kanak tidak patut ditahan tanpa bicara.
Seramai 142 kanak-kanak diketahui ditahan bawah Akta Pencegahan Jenayah (Poca) dan 17 lagi bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah khas) atau Sosma. Jumlah sebenar kanak-kanak yang masih ditahan belum diketahui keana ada yang sudah dibebaskan.
Orang bawah usia 18 tahun dikira sebagai kanak-kanak.
“Kalau ada bukti mereka terlibat dalam aktiviti jenayah, mereka patut diberi perbicaraan adil di mahkamah,” kata Pengarah Eksekutif Suaram, Sevan Doraisamy.
Beliau juga mempersoalkan penggunaan undang-undang yang berat, kebiasaannya dikenakan ke atas penjenayah tegar, oleh pegawai penyiasat untuk menghukum kanak-kanak ketika mereka sepatutnya didakwa di mahkamah.
“Kami menggesa kerajaan lepaskan semua tahanan bawah Poca. Lepaskan mereka yang masih dalam penjara atau pusat tahanan, dan lepaskan juga mereka yang dipakaikan Peranti Pengawasan Elektronik (EMD).
“Kami menggesa pegawai penyiasat disiasat kerana menggunakan Poca dan bukan undang-undang lain yang khusus untuk kanak-kanak,” katanya.
Beliau berkata kanak-kanak yang sudah dibebaskan perlu dipulihkan kerana trauma yang dialami semasa dalam tahanan.
Penasihat undang-undang Suaram, Farida Mohamad berkata beberapa kanak-kanakyang dibebaskan itu masih dipantau EMD dan tidak dibenarkan memegang kad pengenalan biasa.
“Sebaliknya, mereka memegang kad pengenalan warna perang yang biasanya dikeluarkan untuk tahanan Poca, iaitu MyPoca,” katanya.
Beliau berkata kad dan EMD itu menyebabkan mereka lebih terdedah kepada diskriminasi apabila mereka cuba kembali kepada masyarakat.
Sekumpulan pesuruhjaya Suhakam melawat Penjara Kluang pada 19 Julai lepas, penjara yang dikhaskan untuk juvana bawah Poca, dan mereka mendapati 35 kanak-kanak ditahan di situ.
10 kanak-kanak ditahan sebelum berusia 18 tahun.
15 kanak-kanak yang ditemubual berketurunan Melayu, 18 berketurunan India dan 2 dari lain-lain kaum. Tiada kanak-kanak berketurunan Cina.
Suruhanjaya juga mendapati beberapa kanak-kanak itu masih bersekolah semasa ditahan.
Suhakam dalam lawatannya mendapati tahanan-tahanan bawah umur berdepan isu kesihatan dan kebersihan, termasuk kanak-kanak mengalami kudis buta.
Suruhanjaya berkata kebanyakan kanak-kanak itu ditahan kerana disyaki mencuri.
Pesuruhjaya Jerald Joseph berkata walaupun beberapa kanak-kanak itu mungkin ditahan kerana terlibat dalam jenayah serius, ramai ditahan kerana bersama dengan penjenayah dan kerana gagal membuktikan tidak bersalah.
Joseph berkata mereka dibawa ke beberapa ibu pejabat polis daerah dan lokap sebelum dibawa ke majistret untuk ditahan bawah Poca, menyebabkan keseluruhan masa mereka bawah tahanan reman polis melebihi 60 hari.
Beliau berkata walaupun polis menjalankan tugas, ada keperluan untuk menguruskan penjenayah dan suspek dengan lebih baik.
Joseph mencadangkan sistem yang lebih berpusat bagi menghalang individu yang mempunyai pelbagai kes dipindah-pindahkan dari satu balai polis ke balai polis yang lain.
“Kami meminta kerajaan tidak lagi menahan kanak-kanak bawah Poca dan dalam jangka masa panjang, kami minta undang-undang itu dimansuhkan,” katanya.
Pesuruhjaya Aishah Bidin berkata ada mahkamah khas dengan kuasa untuk mendengar semua kes jenayah melibatkan kanak-kanak bawah Akta Kanak-kanak, yang mana mereka diberi penjagaan wajar.
“Apabila mereka ditahan bawah Poca, walaupun untuk kesalahan jenayah yang sama, layanan kepada mereka adalah berbeza,” katanya.
Pakatan Harapan dalam pilihan raya umum lepas berjanji Sosma dan Poca antara undang-undang yang akan dimansuhkan.
Menteri Dalam Negeri Tan Sri Muhyiddin Yassin baru-baru ini mengumumkan kerajaan akan mengekalkan 2 undang-undang keselamatan itu tetapi dengan pindaan.