
Kerajaan melancarkkan siasatan terhadap WRP Asia Pacific Sdn Bhd (WRP) selepas pekerjanya, yang kebanyakan berasal dari Bangladesh dan Nepal, melancarkan mogok. Didapati gaji mereka ditahan sejak November tahun lepas.
WRP mengesahkan berlaku protes oleh pekerjanya tetapi berkata, pertikaian itu telah diselesaikan. Dalam satu e-mel kepada Thomson Reuters Foundation, ia berkata, ia tidak maklum tentang rancangan kerajaan untuk memulakan pendakwaan, selain menyifatkan tuduhan tersebut “tidak berasas”.
Pendakwaan akan dibuat segera bagi memastikan kesalahan sama tidak diulangi dan sebagai amaran kepada majikan lain,” kata Jabatan Tenaga Kerja (JTK) dalam satu kenyataan semalam.
Tindakan itu diambil walaupun WRP bersetuju membayar gaji yang tertunggak tersebut, katanya. Ia tidak memberitahu bilangan pekerja yang terlibat.
Pelanggaran hak pekerja kini mendapat perhatian umum di Malaysia, yang bergantung pada hampir 2 juta pekerja asing di sektor peladangan, kilang dan tapak pembinaannya.
Malaysia merupakan pengeluar utama sarung tangan dunia. Data industri menunjukkan ia menghasilkan 3 daripada setiap 5 pasang sarung tangan yang digunakan, dengan mengeksportnya ke negara seperti Britain dan Amerika Syarikat.
Thomson Reuters Foundation melaporkan pada Disember bahawa pekerja di kilang pengeluar sarung tangan terbesar dunia, Top Glove, bekerja lebih masa dan dalam kes tertentu melampaui hadnya yang sah bagi membayar hutang ejen pengambilan.
Pendedahan itu mendorong kerajaan British memulakan penyiasatan selepas ia mendapati keluaran Top Glove digunakan di hospital, selain keluaran syarikat produk getah Australia, Ansell. Malaysia juga berjanji mengambil tindakan serupa.
Top Glove merupakan pengeluar sarung tangan terbesar dunia, diikuti firma berpangkalan di Malaysia seperti Hartalega, Kossan dan Supermax.
WRP, yang beribu pejabat di luar Kuala Lumpur adalah lebih kecil. Laman webnya menyebut ia mengeluarkan kira-kira 11 bilion sarung tangan setahun dan mempunyai lebih 4,000 pekerja pada 2016.
Kerajaan berkata, syarikat itu melanggar undang-undang pekerjaan, termasuk membuat potongan gaji tidak sah.
WRP berkata, ia “berjaya mengatasi masalah tersebut dari pihak pekerja” dan sedang bekerja dengan “pelbagai agensi pengambilan pekerja dan kontraktor tempatan bagi memastikan kepentingan pekerja asingnya ditangani dengan lebih baik pada masa depan”.