
Timbalan Pengarah Dasar Gaji Bahagian Gaji dan Elaun Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) Mohd Shahir Shaari berkata walaupun pelarasan gaji baharu berkuat kuasa pada 1 Jan, pembayaran hanya akan dibuat pada 22 Jan yang merupakan hari gaji bagi bulan berkenaan.
Beliau berkata pelarasan gaji Fasa 2, kesinambungan kenaikan gaji di bawah SSPA yang diumumkan pada 2024 dengan kadar 15% untuk Kumpulan Pelaksana dan Kumpulan Pengurusan dan Profesional (P&P), serta 7% bagi Kumpulan Pengurusan Tertinggi (KPT).
“Yang akan datang ini, penjawat awam (Kumpulan P&P), akan menerima (lagi) 7%, manakala KPT akan menerima pelarasan sebanyak 3% (lagi),” katanya dalam program audio siar, ‘Kenaikan Gaji SSPA 2.0: Apa Perlu Pegawai Awam Tahu’ yang disiarkan di Facebook dan YouTube JPA, hari ini.
Pada fasa satu pelarasan gaji, kumpulan P&P telah menerima kenaikan 8%, manakala KPT 4% yang dibayar pada Dis 2024.
Shahir berkata mereka yang tidak memilih SSPA serta tidak lagi berada dalam perkhidmatan kerajaan pada 1 Jan tahun depan, sama ada kerana bersara atau ditamatkan perkhidmatan sebelum tarikh tersebut, tidak layak menikmati pelarasan gaji tersebut.
“Bagaimanapun, untuk pegawai yang bersara pada 1 Jan, hari terakhirnya (berkhidmat) ialah pada 31 Dis. Jadi, 1 Jan (tahun hadapan) bukan hari terakhir dalam perkhidmatan…dia tidak dapat pelarasan gaji sebaliknya akan dapat pelarasan pencen.
“Untuk pegawai yang meninggal dunia pada 1 Jan dan tarikh itu merupakan hari terakhirnya dalam perkhidmatan, kita akan berikan pelarasan gaji pada 1 Jan dan kemudiannya akan buat pelarasan pembayaran pencen pada pewaris,” katanya.
Selain itu, beliau berkata penjawat awam yang menerima markah penilaian prestasi tahunan kurang daripada 75% di bawah sistem MyPERFORMANCE, tidak akan terjejas daripada menerima kenaikan gaji pada bulan depan.
Beliau menegaskan syarat utama untuk menerima pelarasan gaji Fasa 2 ialah penjawat awam mestilah menerima memilih skim SSPA dan berada dalam perkhidmatan awam pada 31 Dis tahun ini dan 1 Jan 2026.
“Pelarasan gaji tidak ada kaitan secara langsung dengan (penilaian prestasi) MyPERFORMANCE. (Yang akan terkesan) cuma dari segi pergerakan gaji tahunan. Markah minimum yang perlu dicapai untuk pergerakan gaji tahunan ialah 75%.
“Jadi, penjawat awam pastikanlah untuk mendapatkan 75% (bagi penilaian prestasi di bawah MyPERFORMANCE). Jadi, penjawat awam (akan dapat menerima manfaat) pelarasan gaji Fasa 2 dan pergerakan gaji tahunan pun akan dapat juga,” katanya.
Menyentuh mengenai ketetapan kalkulator SSPA yang digunakan penjawat awam sejak pengumuman pelarasan gaji di bawah sistem SSPA dibuat, beliau berkata ia boleh digunakan sebagai rujukan umum, namun pengesahan sebenar, berdasarkan rekod perkhidmatan dan gaji dalam buku perkhidmatan masing-masing.
Beliau turut menasihatkan penjawat awam untuk merujuk sumber sahih seperti jabatan masing-masing atau JPA, bagi mendapatkan maklumat tepat selain turut mengingatkan kakitangan awam agar meningkatkan prestasi dan mempamerkan kecekapan hasil kerja lebih baik berbanding sebelum ini.
“Bila kerajaan dah pertimbangkan kenaikan gaji, kita sebagai penjawat awam juga ada tanggungjawab. (Kita) mestilah menaikkan produktiviti kita, lebih bersemangat dan sebagainya,” katanya.
Perdana Menteri Anwar Ibrahim pada Mei 2024 semasa merasmikan sambutan Hari Pekerja 2024 peringkat Kebangsaan di Putrajaya, mengumumkan kenaikan gaji penjawat awam lebih 13% bermula Dis 2024, antara tertinggi dan terbaik dalam sejarah negara.