Cantiknya gadis Orang Asli Cameron Highlands

Zuzilaini Zamani bercita-cita mahu menjadi polis dan model.

PETALING JAYA: Media, sama ada tempatan atau antarabangsa, kerap memberi imej Orang Asli sebagai masyarakat yang compang camping, dan berpakaian tidak lengkap.

Namun, realitinya, masyarakat Orang Asli di Malaysia sebenarnya mempunyai penampilan cantik.

Ambil contoh Zuzilaini Zamani, 25, dari keluarga Orang Asli di sebuah kampungan di Pos Mensun Cameron Highlands.

Zuzilaini seorang gadis suku Semai yang berkulit putih kemerah-merahan, malah tuturnya menggunakan Bahasa Melayu juga lancar.

Zuzilaini atau lebih selesa dengan panggilan Sisi tidak pernah merasa berbeza dengan adik-beradiknya yang lain.

Tidak seperti adik beradiknya, dia mempunyai warna kulit yang lebih cerah daripada adik beradiknya.

Sisi begitu petah berbicara tentang kehidupannya, meskipun malu-malu, mungkin rasa kekok.

Bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Karak mengakui warna kulit selalu dijadikan pengukur kepada kecantikan di Malaysia, dan ia mungkin satu faktor mengapa kecantikan Orang Asli tidak terserlah untuk ditonjolkan media.

“Kami semua masa kecil putih tapi apabila dah besar kami masuk hutan, kerja kebun semua jadi gelap kecuali saya,” katanya.

Keluarga Sisi sebenarnya mempunyai darah campuran Jepun.

Shamraini Zamani, 21, adik kepada Sisi memaklumkan, moyangnya dari keturunan Jepun.

“Moyang (perempuan) kami sebelah ayah adalah orang Jepun dipanggil Amoi yang berkahwin dengan moyang kami, Singa iaitu Tok Batin kampung ini dulu.

“Mungkin darah Jepun itu melekat pada Sisi. Adik beradik ayah memang tak ada yang berkulit putih,” katanya.

Mahu jadi polis, model

Sisi yang begitu rapat dengan 11 orang anak saudaranya bercita-cita menyertai Polis Diraja Malaysia (PDRM), namun gagal ujian saringan atas faktor fizikal.

“Saya dah pernah cuba nasib pergi ujian tapi tak lepas sebab berat tak cukup,” katanya sambil ketawa kecil.

Sisi bersama anak saudaranya ketika ditemui di Pos Mensun Cameron Highlands.

Kini dia lebih banyak menghabiskan masa membantu ibu dan bapanya, termasuklah melakukan aktiviti pertanian.

Bagaimanapun, Sisi akui masih menyimpan cita-citanya itu dan berharap ia menjadi kenyataan satu hari nanti.

Selain mempunyai cita-cita menjadi anggota polis, jauh dilubuk hati gadis itu mempunyai keinginan menjadi model sepertimana gadis lain di luar sana.

“Setiap orang mesti ada keinginan itu (jadi model) tapi saya malu, dan saya rasa macam tidak layak,” katanya mengukir senyum sambil menundukkan kepalanya.

Selain rajin menolong keluarga, Sisi seorang gadis yang aktif dalam bidang sukan, selain pandai memasak dan menyanyi.

“Kalau di sekolah saya memang aktif, kalau dalam bidang sukan, futsal, bola jaring itu paling saya minati. Saya juga selalu diminta melakukan persembahan tarian zapin, sewang (tarian Orang Asli) bila ada acara besar di sekolah,” katanya sambil memaklumkan hubungannya baik dengan bangsa lain di sekolah.

Katanya dia tidak memilih pasangan hidup, cukup sekadar mampu membimbing dan menjaganya seikhlas hari seperti wanita lain.

“Saya tidak memilih mana-mana bangsa untuk dijadikan pasangan, cukup sekadar boleh bimbing, jaga saya. Ada juga perasaan nak kahwin dengan orang luar dari kawasan ini (Pos Mensun) sebab boleh kenal tempat orang, tempat baru, tapi saya tidak lupa asal usul saya,” katanya.