PRK Semenyih: PSM sah bertanding, umum calon Rabu depan

AJK PSM, S Arutchelvan berkata, parti itu merupakan pilihan ketiga bagi pengundi di Semenyih. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Parti Sosialis Malaysia (PSM) hari ini mengesahkan akan bertanding dalam pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih yang akan diadakan 2 Mac ini.

Ahli Jawatankuasa Pusat PSM S Arutchelvan berkata, parti itu akan mengumumkan calonnya pada 13 Februari minggu depan di Semenyih.

“Jawatankuasa pusat yang bermesyuarat pada Ahad lalu mengambil keputusan untuk bertanding,” katanya ketika dihubungi FMT hari ini.

Sebelum ini, Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Azhar Azizan Harun berkata, PRK Semenyih akan diadakan 2 Mac ini.

Beliau berkata, hari penamaan calon PRK itu ditetapkan pada 16 Feb ini, manakala hari mengundi awal pada 26 Feb.

PRK DUN Semenyih diadakan selepas kematian penyandang, Bakhtiar Mohd Nor, 57, yang mewakili PPBM-Pakatan Harapan (PH). Beliau meninggal dunia di Hospital Kajang akibat serangan jantung.

Pada piluhan raya umum ke-14, Bakhtiar menewaskan penyandang kerusi itu, Datuk Johan Abdul Aziz (BN), Mad Shahmiour Mad Kasim (PAS) dan S Arutchelvan (PSM).

Mengulas mengenai desas desus bahawa PSM akan meletakkan pemimpin Pemuda PSM, Nik Aziz Afiq Abdul sebagai calon, Arutchelvan berkata perkara ia hanyalah spekulasi.

“Itu satu spekulasi, kita akan buat pengumuman 13 Feb ini,” katanya.

Beliau berkata, PSM adalah pilihan kali ketiga kepada pengundi di kawasan berkenaan, selain calon Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH).

“Kita rasa perlu ada pilihan ketiga kerana yang bertanding itu PPBM melawan Umno dan kedua-dua mempunyai DNA yang sama.

Menurutnya, parti itu antara lain akan membangkitkan isu seperti perumahan dan pekerja kontrak dalam kempennya.

“Isu ini sebenarnya isu yang sangat memberi faedah kepada rakyat. Mungkin kalau kita bangkitkan isu ini di Semenyih, boleh membuka mata pemimpin nasional yang turun ke Semenyih,” katanya.