Gara-gara tolak vaksin, virus campak menular di Manila

Rakyat Filipina enggan mengimunisasikan anak-anak mereka selepas komplikasi yang berlaku akibat vaksin denggi berdarah, Dengvaxia..

PETALING JAYA: Pihak berkuasa Filipina mengisytiharkan penularan virus campak di ibu kota Manila dipercayai akibat penolakan ibu bapa memberi suntikan vaksin kepada anak masing-masing.

BBC melaporkan Setiausaha Kesihatan, Francisco Duque berkata kira-kira 50 orang, kebanyakannya kanak-kanak maut akibat penyakit itu.

“Kami mengisytiharkan penularan wabak ini kerana kes meningkat dalam beberapa minggu lalu dan mengambil langkah berjaga-jaga terhadap kes baru dan mengingatkan ibu-ibu dan penjaga lebih berwaspada,” Duque dipetik sebagai berkata.

Duque menambah, penyakit bronkopneumonia dari komplikasi campak boleh membawa maut dan menggalakkan ibu bapa untuk membawa anak masing-masing mendapatkan imunisasi.

“Ibu bapa tidak perlu menunggu komplikasi terjadi baru mendapatkan rawatan kerana ia mungkin terlambat,” katanya.

Rakyat Filipina difahamkan enggan mengimunisasikan anak-anak mereka di pusat kesihatan kerajaan, selepas komplikasi yang berlaku akibat vaksin denggi berdarah, Dengvaxia.

Pihak berkuasa sebelum ini berkata 2.4 juta kanak-kanak yang tidak divaksin berisiko mendapat penyakit itu.

Data menunjukkan 196 orang mengidap campak antara 1-19 Januari, berbanding hanya 20 kes dalam tempoh yang sama tahun lepas.

Campak adalah penyakit berjangkit yang tersebar melalui batuk dan bersin. Gejala awal biasanya termasuk demam, batuk, hidung berair dan radang mata. Ruam merah akan muncul di muka dan badan beberapa hari kemudian.

Pada 2018, 3,646 kes campak dilaporkan di Manila, berbanding 351 kes pada 2017.