PAS gesa peguam negara saman Perak ceroboh tanah Orang Asli di Gerik

PAS gesa peguam negara saman Perak ceroboh tanah Orang Asli di Gerik

Timbalan presiden PAS berkata, Tommy Thomas tidak patut bersikap dwistandard dengan hanya menyaman kerajaan Kelantan, tetapi tidak mengambil tindakan terhadap kerajaan Perak pimpinan PH.

Penduduk Orang Asli Kampung Tasik Cunex di Gerik mengadakan protes di depan sekatan atas dakwaan kerajaan Perak menceroboh kawasan tanah adat dan penempatan mereka dengan kegiatan pembalakan. (Gambar NGO Peka)
PETALING JAYA:
PAS menggesa Peguam Negara, Tommy Thomas mengheret kerajaan Perak ke mahkamah atas dakwaan menceroboh tanah adat Orang Asli di Gerik, selepas Putrajaya menyaman kerajaan Kelantan pimpinan parti Islam itu atas kesalahan sama.

Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, Thomas tidak patut bersikap dwistandard dengan hanya menyaman kerajaan Kelantan.

“Sebabnya kalau isu pencerobohan, masyarakat Orang Asli di Perak juga mendakwa tanah mereka diceroboh.

“Dalam perkara yang sama, rakyat melihat apakah peguam negara boleh berlaku adil dalam isu ini,” katanya ketika dihubungi FMT.

Pada 18 Januari lalu, Putrajaya memfailkan saman terhadap kerajaan Kelantan pimpinan PAS kerana menceroboh penempatan Orang Asli, saman pertama difailkan kerajaan persekutuan membabitkan hak tanah adat.

Ia juga memohon injunksi menghalang syarikat swasta menceroboh tanah adat untuk menjalankan aktiviti komersial.

Balak yang didakwa ditebang di kawasan tanah adat dan penempatan Orang Asli Kampung Tasik Cunex di Gerik, Perak. (Gambar NGO Peka)

Susulan itu, kerajaan Kelantan berkata, ia sedia menghentikan semua aktiviti pembalakan, jika kerajaan pusat menyelesaikan pembayaran royalti minyak seperti dijanjikan sebelum ini.

Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah dilaporkan berkata, pembayaran royalti dianggarkan berjumlah RM700 juta setahun itu jauh daripada mencukupi untuk pembangunan Kelantan, berbanding RM100 juta hasil daripada aktiviti pembalakan setahun.

Rabu lalu, penduduk Orang Asli Kampung Tasik Cunex di Gerik mengadakan sekatan bagi menghalang aktiviti pembalakan atas dakwaan kerajaan Perak pimpinan Pakatan Harapan menceroboh kawasan tanah adat dan penempatan mereka.

Tuan Ibrahim yang juga ahli Parlimen Kubang Kerian mencadangkan penyelarasan akta tanah di peringkat persekutuan dan negeri.

“Sebagai contoh, di Kelantan tidak ada rizab (tanah) untuk Orang Asli, cuma yang ada di Kelantan ialah tanah hak milik.

“Kerajaan Kelantan dia beri hak milik terus kepada masyarakat Orang Asli dan ada rizab kawasan rayau. Jadi, saya fikir peringkat pertama ini perlu ada penyelarasan dari segi undang-undang di peringkat persekutuan dan negeri.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.