PAS tak perlu dolak dalik sokong Umno di Semenyih, kata PPBM

PAS tak perlu dolak dalik sokong Umno di Semenyih, kata PPBM

Setiausaha Agung parti persoal kenyataan bercanggah di kalangan pemimpin PAS.

Marzuki Yahya yakin kenyataan Tuan Ibrahim Tuan Man tidak memberi kesan kepada kempen PPBM di Semenyih.
PETALING JAYA:
PPBM hari ini menggesa PAS menetapkan pendirian jelas dan tidak lagi kabur dalam isu kerjasama dengan Umno pada pilihan raya kecil (PRK) Semenyih.

Setiausaha Agung PPBM, Datuk Marzuki Yahya menegaskan, parti pembangkang itu tidak seharusnya berdolak dalik lagi mengenai isu berkenaan.

“Apa maksud mereka cakap menyokong Tun Dr Mahathir Mohamad. Tak perlulah terlalu banyak berdolak dalik sana sini.

“Jelaskan… kalau nak menyokong buat cara menyokong. Saya minta supaya PAS ini lebih berpendirian dalam mengeluarkan kenyataan mereka,” katanya ketika dihubungi FMT.

Beliau mengulas kenyataan terbaru pemimpin PAS menyangkal dakwaan Dr Mahathir yang parti itu tidak akan menyokong Umno pada PRK Semenyih 2 Mac ini.

Timbalan Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man hari ini berkata, jentera parti sudah turun untuk membantu Umno berkempen di Semenyih.

Sabtu lalu, Dr Mahathir berkata, Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang memberitahu beliau bahawa parti itu akan mengkaji semula kerjasama dengan Umno dalam menentang calon PPBM di PRK Semenyih.

Dr Mahathir yang juga pengerusi PPBM berkata, kerjasama PAS dengan Umno di PRK Cameron Highlands bulan lalu adalah kerana Pakatan Harapan menampilkan calon DAP untuk merampas kerusi itu.

Kerjasama itu dilihat membolehkan Barisan Nasional mempertahankan kerusi itu dengan selesa.

Kelmarin, Setiausaha Agung PAS Datuk Takiyuddin Hassan dilaporkan berkata, tahap kerjasama PAS-Umno di Semenyih tidak akan “sehebat” PRK Cameron Highlands.

Mengulas lanjut, Marzuki yakin kenyataan Tuan Ibrahim itu tidak memberi kesan kepada kempen PPBM di Semenyih.

“Tidak jejaskan kita, PAS sendiri tak ada calon bertanding. Kita pun tahu PAS dan Umno ini bukan satu pakatan atau satu talian yang kita anggap agak kukuh.

“Kerana bagi mereka, ini hanyalah politik semata-mata, tidak ada lebih daripada itu,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.