Maszlee umum bayaran RM1 bilion disalur ke sekolah daif di Sarawak

KUCHING: Jemaah menteri hari ini meluluskan dan bersetuju hutang RM1 bilion kerajaan Sarawak kepada kerajaan persekutuan akan digunakan untuk baik pulih sekolah daif di negeri itu.

Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik dalam kenyataan hari ini berkata keputusan ini susulan daripada persetujuan antara beliau dengan Ketua Menteri Sarawak, Datuk Abang Johari Tun Openg ketika lawatannya ke Kuching semalam.

Ia akan memberi manfaat kepada 436,000 murid di seluruh Sarawak.

“Kabinet juga telah bersetuju agar projek ini dipantau rapi untuk memastikan wang RM1 bilion yang akan digunakan nanti benar-benar digunakan secara efisien dan memberi manfaat kepada semua anak murid dan warga guru di sekolah yang terbabit,” katanya.

Beliau berkata jawatankuasa khas yang akan dianggotai Kementerian Pendidikan Malaysia, Kementerian Kewangan serta kerajaan Sarawak akan ditubuhkan untuk memastikan tadbir urus yang bersih dan proses yang telus dapat dilaksanakan.

“Di peringkat perlaksanaan pula, Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak akan ditugaskan sebagai agensi pelaksana,” katanya.