Petisyen cabar kemenangan BN di Kimanis, Sipitang didengar Mahkamah Tinggi

Yamani Hafez Musa (kanan) ialah anak saudara Anifah Aman.

KOTA KINABALU: Mahkamah Tinggi di sini menetapkan 1 Mac ini untuk sebutan petisyen pilihan raya bagi kerusi Parlimen Kimanis dan Sipitang di Sabah yang dimenangi Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum ke-14 lalu.

Hakim berpangkalan di Sibu, Datuk Lee Heng Cheong akan mendengar petisyen Kimanis, manakala Azhahari Kamal Ramli dari Mahkamah Tinggi Kuching, mendengar kes Sipitang.

Terdahulu, Mahkamah Persekutuan mengarahkan perbicaraan bagi petisyen pilihan raya mencabar keputusan kerusi Parlimen Kimanis dan Sipitang.

Kerusi Kimanis dimenangi Datuk Seri Anifah Aman dan Sipitang dimenangi anak saudaranya, Yamani Hafez Musa yang juga anak bekas ketua menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman.

Anifah menewaskan calon Warisan, Datuk Karim Bujang dengan majoriti tipis 156 undi. Hafez menang dengan majoriti 852 undi selepas mengalahkan calon Warisan, Noor Hayaty Mustapha dan calon Parti Harapan Rakyat Sabah, Dayang Aezzy Liman.

Panel 5 hakim diketuai Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Datuk David Wong Dak Wah berkata, merit pilihan raya Kimanis perlu didengar kerana Karim mematuhi Peraturan-peraturan Petisyen Pilihan Raya 1954.

Satu lagi panel 5 hakim dipengerusikan Tan Sri Ahmad Maarop membenarkan perbicaraan bagi kerusi Sipitang yang difailkan Hayaty.

Mahkamah turut membenarkan permohonan Hayaty untuk petisyen itu didengar hakim baru.