Pertempuran lawan militan Sulu di Lahad Datu ibarat buku bertemu ruas, kata komando
Timbalan Komander VAT69, Abdul Rani Alias berkata, militan Sulu dilengkapi senjata dan terlatih.
PETALING JAYA: Seorang pegawai 69 Komando (VAT69) yang terbabit dalam pertempuran menentang militan menceroboh Lahad Datu di Sabah, 6 tahun lalu, mengakui penyokong kuat kesultanan Sulu, Azzimudie Kiram itu terlatih dan dilengkapi senjata.
Timbalan Komander 69 Komando (VAT69), Abdul Rani Alias yang dipetik Bernama menyifatkan pertempuran itu ibarat buku bertemu ruas.
“Mereka (militan Sulu) memang berani mati, terlatih, tapi kami (VAT 69) juga terlatih dan ini umpama buku bertemu ruas.
“Situasi pada masa itu sangat berbeza, peluru bersilang-silang. Selepas berakhirnya ancaman komunis (1989), tidak pernah lagi ada operasi peperangan, yang selalu (ada) hanya penjenayah,” katanya dalam sidang media di Pasukan Gerakan Khas, Ulu Kinta di Ipoh, hari ini.
Rani berkata, pasukan Delta yang diketuainya bersama 3 lagi pasukan yang dibahagikan kepada Sektor Alpha, Bravo dan Charlie diarah meninjau kawasan terbabit pada 28 Februari 2013.
“Kira-kira 6 pagi 1 Mac, pasukan saya ‘clearkan’ kira-kira 20 buah rumah dan semasa berehat kira-kira 9.45 pagi, terdengar bunyi pertempuran di sektor Bravo dan Charlie.”
Beliau berkata, masing-masing seorang anggota 69 Komando dari Sektor Charlie dan Bravo yang dikenali sebagai Zulkifli Mamat serta Sabaruddin Daud meninggal dunia akibat terkena tembakan.
Walaupun beliau dan anggota lain marah serta sedih dengan kehilangan rakan setugas, pada masa sama, semangat untuk menghapuskan militan Sulu semakin membara.
Rani berkata, VAT69 akan mengadakan majlis memperingati tragedi Tanduo yang dikenali sebagai “Majlis 1313” pada 1 Mac ini di sini dan ia akan menjadi sebahagian daripada sambutan 50 tahun pasukan itu.
Beliau berkata, dalam majlis itu, Institut Integriti Malaysia akan menyerahkan batu peringatan Op Sulu/Op Daulat kepada VAT69 dan penyampaian sumbangan kepada anak pegawai serta anggota terkorban.
Selain Zulkifli dan Sabaruddin, pertempuran dengan penceroboh di Kampung Tanduo dan Kampung Simunul, Semporna dari 11 Februari hingga 11 Mac 2013 turut mengorbankan 7 lagi anggota keselamatan, iaitu Ibrahim Lebar, Michael Padel, Abdul Azis Sarikon, Mohd Azrul Tukiran, Baharin Hamit, Salam Tugiran dan Ahmad Hurairah Ismail.
Sementara itu, Pegawai Turus Kepolisian Am VAT69, Hakemal Hawari yang mengetuai Sektor Alpha bertindak sebagai pasukan peninjau, berkata pertempuran berlaku di ladang kelapa sawit.
Katanya, sebaik tiba di kawasan itu pada 15 Februari 2013, pihaknya mendapati ia bukan operasi kecil.
“Kami cadangkan pihak atasan tambah anggota dari Ulu Kinta (VAT69) untuk mantapkan lagi operasi. Waktu itu di bawah saya ada kira-kira 60 anggota.
Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram
“Pokok kelapa sawit adalah perlindungan dan pertahanan baik waktu itu kerana tiada bukit atau pokok besar untuk berlindung daripada tembakan. Ia lokasi baru untuk pertempuran.”