Dr Mahathir setuju laksana VOA di Langkawi, kata menteri pelancongan

Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya mengadakan siri perbincangan dengan Kementerian Dalam Negeri berhubung cadangan pelaksanaan VOA di Langkawi. (Gambar Reuters)

LANGKAWI: Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad secara dasarnya bersetuju visa ketibaan (VOA) dilaksanakan di Langkawi, kata Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Mohamaddin Ketapi.

Beliau berkata, persetujuan tersebut dicapai dalam pertemuan antara beliau dengan Dr Mahathir yang juga Ahli Parlimen Langkawi baru-baru ini.

“Saya telah berbincang dengan Dr Mahathir berkenaan VOA ini untuk diadakan di Langkawi, beliau bersetuju dengan cadangan tersebut. Selepas ini saya akan tulis surat kepada Menteri Dalam Negeri Muhyiddin Yassin (berkenaan cadangan tersebut),” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan majlis pelancaran Tabung Khas Pelancongan SFT3, di sini hari ini.

Turut hadir, timbalan ketua setiausaha (Pelancongan) Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MoTAC), Haslina Abdul Hamid.

Haslina berkata, MoTAC telah mengadakan beberapa siri perbincangan bersama Kementerian Dalam Negeri berhubung cadangan mengadakan VOA di Langkawi.

“Dalam perbincangan tersebut kita kemukakan cadangan pelaksanaan VOA ini, perkembangan perbincangan itu sangat positif dan VOA itu dalam perancangan seperti yang dikatakan oleh menteri tadi,” katanya.