KKM: Doktor palsukan borang vaksin berdepan tindakan

KKM: Doktor palsukan borang vaksin berdepan tindakan

KKM memandang serius isu itu kerana doktor yang bertanggungjawab memberikan vaksin menyalahgunakan kuasa mereka.

Sebelum ini dilaporkan terdapat jemaah haji dan umrah dari Malaysia memalsukan borang vaksin, menggunakan khidmat ejen pelancongan dan doktor. (Gambar AFP)
PUTRAJAYA:
Kementerian Kesihatan akan mengambil tindakan terhadap doktor yang memalsukan borang vaksin kepada jemaah haji dan umrah.

Timbalan Menteri Kesihatan, Lee Boon Chye berkata, beliau memandang serius isu tersebut kerana doktor yang bertanggungjawab memberikan vaksin menyalahgunakan kuasa mereka.

“Memberi vaksin memang tanggungjawab seorang doktor. Apabila doktor menandatangani dokumen tersebut, ini menunjukkan dia membenarkan pemberian vaksin.

“Kita akan siasat. Sekiranya ada doktor yang didapati memalsukan dokumen, Majlis Perubatan Malaysia akan ambil tindakan,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri program derma darah sempena sambutan Hari Pembantu Perubatan 2019, hari ini.

Lee berkata, kementerian juga mengambil berat mengenai isu vaksin, terutama yang melibatkan warganegara Malaysia yang berhajat menunaikan haji dan umrah.

“Kerajaan Arab Saudi sendiri mewajibkan pengambilan beberapa jenis vaksin untuk jemaah haji,” katanya.

Sebelum ini, akhbar Sunday Times Singapura melaporkan terdapat jemaah haji dan umrah dari Malaysia memalsukan borang vaksin, menggunakan khidmat ejen pelancongan dan doktor untuk ke Mekah.

Seorang pegawai tinggi kerajaan memberitahu akhbar tersebut bahawa vaksin meningitis adalah diwajibkan oleh kerajaan Arab Saudi sebelum visa boleh diluluskan tetapi ada sesetengah jemaah haji enggan mengambilnya atas kepercayaan peribadi mereka.

Jemaah haji dan umrah hanya perlu membayar RM500 kepada agensi pelancongan yang akan membantu mendapatkan doktor supaya menandatangani buku kesihatan mereka.

Mengulas perkara sama, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Mujahid Yusof Rawa berkata, tindakan akan diambil terhadap agensi pelancongan yang bersubahat memalsukan borang vaksin.

“Rakyat perlu mematuhi peraturan dan borang vaksin tidak patut dipalsukan. Jika jemaah enggan berbuat demikian, ia akan membawa lebih banyak keburukan kerana penyakit itu akan merebak kepada orang lain.

“Jika ada bukti terdapat syarikat atau doktor terbabit dalam aktiviti sedemikian, kami akan ambil tindakan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.