7 cadangan bina lebuh raya di Kedah, kata Mukhriz

7 cadangan bina lebuh raya di Kedah, kata Mukhriz

Pembinaan lebuh raya dapat membantu merancakkan lagi ekonomi penduduk kawasan pedalaman, terutamanya di Kulim, Sik dan Baling.

Menteri Besar Kedah, Mukhriz Mahathir berkata, kerajaan bercadang membina lebuh raya yang menghubungkan negeri itu dengan Perak tanpa melalui Pulau Pinang.

ALOR SETAR; Kerajaan Kedah menerima sekurang-kurangnya 7 cadangan daripada pihak swasta yang berminat untuk membina lebuh raya antara Perak dan Kulim.

Menteri Besar Mukhriz Mahathir berkata, keputusan pemilihan jajaran lebuh raya itu akan dipertimbang dan diputuskan kerajaan negeri sebelum mereka boleh kemukakan cadangan.

“Sekarang sudah ada Lebuhraya Utara-Selatan (Plus), namun kita dapati pergerakan antara Perak dan Kedah tersekat-sekat, selain berlaku kesesakan di Juru, Pulau Pinang.

“Kerajaan negeri akan putuskan jajaran mana yang sesuai kerana kita perlu ambil kira beberapa aspek, seperti pembinaan kawasan perumahan, lapangan terbang dan perindustrian,” katanya selepas majlis pelancaran Hasil Melalui Terminal Kad MyDebit di sini, hari ini.

Beliau berkata, pembinaan lebuh raya itu juga dilihat dapat membantu merancakkan lagi ekonomi penduduk kawasan pedalaman, terutamanya di Kulim, Sik dan Baling.

“Kita ada sebab mahu bina lebuh raya itu. Taman Teknologi Tinggi Kulim (KHTP) terletak di Kulim dan kalau boleh buka lebuh raya ia ada nilai tambah kepada pelabur.

“Lapangan terbang antarabangsa Kulim (KXP) juga akan dibina tidak jauh dari KHTP.

“Kalau naik ke atas sikit kita boleh sampai ke Baling dan Sik. Jadi bayangkan kalau pusat pembangunan sedia ada disambungkan pula dengan lebuh raya baru ini, macam-macam program boleh dilaksanakan untuk rancakkan ekonomi setempat,” katanya.

Pada 4 Mac lalu, Mukhriz berkata, kerajaan Kedah mencadangkan pembinaan lebuh raya yang menghubungkan negeri ini dengan Perak tanpa melalui Pulau Pinang, yang dijangka memberi impak besar kepada sosio-ekonomi penduduk di pedalaman, terutama Baling.

Cadangan itu dibuat susulan laporan media mengenai nasib penduduk Baling yang tidak banyak berubah sejak peristiwa Demonstrasi Baling 1974, malah majoriti mereka yang menjadi penoreh getah masih hidup di bawah paras kemiskinan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.